Dap Tukang Karut Kepada Wayang Kulit Kerajaan PH


SEMENYIH, 1 Mac – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan, kerajaan baru pimpinan Pakatan Harapan (PH) adalah merupakan sebuah kerajaan yang longgar, kerajaan yang tidak berteraskan akar tunjang yang baik yang boleh membuatkan orang Melayu, Bumiputera Islam berasa selamat.

Jelas beliau, orang Melayu Islam kini berasa kehilangan dan gelisah sejak PH mentadbir negara.

“Sejak 10 bulan yang lalu, orang Melayu resah di tanah air sendiri, orang Islam resah di negara yang agama rasminya agama Islam. Kerana apa? Kerana kerajaan sudah bertukar tangan.

“Setelah 61 tahun dilindungi, hari ini kita terdedah kerana asas teras kerajaan yang ditubuhkan selepas 9 Mei adalah sebuah kerajaan yang longgar”, ujar beliau ketika berucap di ceramah perdana UMNO Pas sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih di sini, Khamis malam.

Justeru tegasnya hari ini kita tidak boleh mengatakan kerajaan hari ini kerajaan Islam, walaupun Perdana Menteri orang Islam tapi beliau tidak lagi mendapat mandat yang kuat seperti dia pernah dapat dulu.

“Dia sendiri mengatakan nak melantik jawatan timbalan perdana menteri pun hendaklah mendapat sokongan dan mandat dari Dap.

“Dap lah yang sekarang ini menjadi tukang karut kepada wayang kulit kerajaan PH yang sedang mentadbir negara ini. Apa sahaja yang hendak dibuat mesti mendapat kelulusan dari Dap iaitu majlis presiden parti parti PH,” katanya.

Tambah beliau lagi, ini belum lagi bercerita berkaitan janji yang tidak dapat mereka tunaikan.

“Janji yang lena melenakan orang.. janji yang lemak manis dan merdu menyebabkan ramai terpikat sehingga jatuhnya kerajaan yang ditunjangi oleh agama Islam.

“Sehinggakan kerana marah dengan Pas sebab bekerjasama dengsn UMNO, Pas dikatakan menerima RM90 juta. SPRM sendiri sudah mengesahkan tiada tapi masih lagi disiasat sampai bekukan akaun Pas.

“Jika benar harta Pas dirampas dan akaun dibeku, saya berasa sangat kecewa dan terkilan,” luah beliau. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.