Tiga Sebab Kenapa Perlu Undi Calon BN, Zakaria Hanafi – Warkah Najib

TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN,

Nama saya Najib Razak. Saya bukan lagi Pengerusi Barisan Nasional ataupun Perdana Menteri. Namun saya terpanggil untuk membantu BN dalam kempen pilihan raya kecil DUN Semenyih ini. Oleh itu, saya ingin merayu kepada warga Semenyih untuk mengundi calon BN untuk mewakili anda di Dewan Undangan Negeri Selangor.

Saya ingin memberi 3 sebab utama.

PERTAMA, Kalah atau menang, PRK Semenyih ini tidak akan ubah kerajaan Selangor atau kerajaan persekutuan. Jika PH menang, mereka akan ada 51 daripada 56 kerusi DUN iaitu 91% dari semua DUN Selangor. Kalau PH kalah, mereka masih akan ada 50 kerusi DUN ataupun 89.3% – jauh lebih tinggi dari angka 66.6% majoriti yang diperlu untuk meminda perlembagaan negeri.

DUN Semenyih terletak di dalam kawasan parlimen Hulu Langat. Parlimen Hulu Langat juga adalah milik Kerajaan PH, oleh itu apa-apa masalah pembangunan boleh disalurkan oleh kerajaan melalui ahli parlimen. Sekiranya, BN menang dalam PRK DUN Semenyih ini, kita hanya akan menambah satu lagi kerusi DUN pembangkang kepada 6, untuk melawan 50 ADUN Kerajaan PH di dalam dewan. Jumlah ini masih jauh tidak seimbang tetapi jumlah suara pembangkang yang lebih banyak akan membolehkan kita memberi suara yang lebih kuat kepada rakyat. Sangat nyata bahawa PH masih terlalu kuat di dalam DUN. Apabila kerajaan terlalu kuat, ianya tidak baik untuk rakyat.

Kerajaan begini akan mengambil sambil lewa dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat. Sebab itu selama ini di Selangor setelah dua penggal PH memerintah, masih banyak perkara-perkara asas yang tidak diselesaikan oleh mereka malah ianya menjadi lebih teruk. Masalah kos sara hidup akibat rumah dan premis perniagaan yang mahal di Selangor, masalah air, sampah sarap, denggi, jalan sempit dan berlubang, lampu jalan dan sebagainya masih berleluasa dan tidak ditangani dengan sepatutnya oleh kerajaan negeri. Keadaan ekonomi negara dan negeri Selangor juga telah merudum dan ramai rakyat telah hilang kerja. Ramai lagi yang akan diberhentikan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Kerajaan yang terlalu kuat juga mudah menjadi korup dan rasuah. Namun kempen PH tidak habis-habis mengatakan bahawa pemimpin-pemimpin BN yang korup dan rasuah. Selepas menjadi kerajaan persekutuan, melalui agensi-agensi penguatkuasaan, Kerajaan PH telah melontar beratus-ratus pertuduhan rasuah kepada pemimpin-pemimpin BN termasuk saya sendiri untuk menunjukkan BN adalah parti yang korup.

Namun demikan, sebaliknya pemimpin-pemimpin PH yang dikaitkan dengan rasuah telah dilepaskan begitu sahaja. Mereka-mereka ini tiba-tiba menjadi suci selepas menang pilihanraya atau melompat parti.

Di Selangor ini, banyak kes-kes rasuah yang melibatkan ahli-ahli politik PH dilaporkan sejak mereka memerintah daripada tahun 2008. Kita tidak boleh benarkan mereka-mereka ini terlepas begitu sahaja sedangkan pemimpin-pemimpin BN difitnah, dituduh, direman dan ditahan dengan semberono. Jika anda adalah penyokong sistem demokrasi yang adil, BN perlu diberi peluang kali ini di Semenyih.

Tuan-tuan dan puan-puan,

KEDUA, sebelum ini pemimpin-pemimpin PH telah banyak berjanji untuk menyelesaikan masalah rakyat. Banyak masalah-masalah setempat seperti yang tersebut di atas masih berleluasa seperti yang diakui sendiri oleh calon PH dalam kempen pilihanraya kecil ini baru-baru ini. Walaupun beliau berjanji untuk menyelesaikan semua masalah-masalah ini sehari selepas menang pilihanraya, saya yakin ini adalah satu lagi janji kosong PH selepas 11 tahun mereka memerintah di Selangor.

Mereka telah berjanji untuk menurunkan harga minyak, menghapuskan hutang PTPTN, menurunkan harga barang dengan SST, menghapuskan tol, menghapuskan lantikan politik dalam syarikat dan agensi berkenaan kerajaan, dan membawa lantikan-lantikan penting kerajaan seperti Pengerusi SPR, Pesuruhjaya SPRM, dan Peguam Negara ke Parlimen untuk pertimbangan.

Namun setelah mereka menang pilihanraya sebaliknya telah berlaku: harga minyak telah naik, hutang PTPTN dipaksa bayar, harga barang semakin teruk naik dengan SST, caj kesesakan tol akan diperkenalkan, saudara mara dilantik dalam syarikat dan agensi kerajaan, dan lantikan Pengerusi SPR, SPRM dan Peguam Negara dilakukan tanpa semak-imbang Parlimen seperti dijanji. Telah terbukti bahawa mereka ini selalu mungkir janji dan menipu rakyat.

Sekiranya PH menang lagi kali ini, maka kita memberikan isyarat kepada mereka bahawa mereka masih boleh menang walaupun mereka terus mungkir janji dan menipu kita. Kita tidak boleh benarkan perkara ini terus berlaku.

Kita mesti memberikan insyarat kepada mereka bahawa mereka tidak boleh terus mungkir janji, menipu namun terlepas begitu sahaja. Mereka perlu bertanggungjawab ke atas janji-janji mereka kepada rakyat.

Tuan-tuan dan puan-puan,

KETIGA, Calon kita adalah calon yang lebih baik berbanding calon PH. Calon BN, Tuan Haji Zakaria Hanafi adalah seorang yang berkelulusan tinggi, berpengalaman, merendah diri namun lantang menyuarakan pendapat. Beliau akan membawa suara pembangkang yang penting untuk menyemak-imbang kerajaan di peringkat dasar kerajaan negeri mahupun persekutuan. Ini adalah penting kerana dasar-dasar kerajaan negeri dan persekutuan PH memberi kesan mendalam kepada rakyat Semenyih.

Dalam pilihanraya kali ini, beliau juga membawa kempen yang positif. Walaupun beliau telah dicemuh dan dicaci oleh pihak-pihak PH dengan poster-poster negatif dan serangan peribadi, beliau tetap bersabar dan istiqamah dengan kempen yang bersih, dan dengan membawa isu-isu rakyat; dan bukannya kempen negatif, fitnah dan serangan peribadi seperti yang dilakukan oleh PH.

Inilah politik baru yang dibawa BN kini untuk masa hadapan: politik positif yang memperjuangkan isu-isu rakyat dan bukan politik serangan peribadi dan politik fitnah seperti yang dibawa oleh PH sejak berpuluh-puluh tahun. Saya harap tuan-tuan dan puan-puan akan keluar beramai-ramai untuk mengundi BN pada hari esok, Sabtu 2hb Mac 2019 ini.

Sekiranya tuan-tuan dan puan-puan keluar mengundi BN kali ini dan dengan itu calon BN menang, maka kita akan bergerak setapak lagi ke hadapan untuk menyemak-imbang kerajaan supaya mereka mengambil endah kepada masalah rakyat dan tidak terlepas apabila mungkir janji.

Dan sekiranya BN menang esok, kita akan dapat lebih mandat daripada rakyat untuk menjadi pembangkang yang kuat yang akan menyuarakan isu-isu rakyat dengan lantang supaya kehidupan rakyat menjadi lebih baik.

Sekian, terima kasih.

Salam,

NAJIB RAZAK
1 Mac 2019

—– ——– ———

Jom ikuti aktiviti-aktiviti calon Barisan Nasional Pilihan Raya Kecil N.24 Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Zakaria Hanafi di www.facebook.com/ZH4N24 dan www.instagram.com/zakariahanafi_n24/. ‘Bukti, Bukan Sekadar Janji’.