PRK Semenyih: Zakaria Tumpu Bawa Masalah Rakyat


HULU LANGAT 28 Feb.- Berbanding calon Pakatan Harapan (PH) yang membawakan lima agenda bagi menambat hati pengundi di Semenyih, calon Barisan Nasional (BN), Zakaria Hanafi sebaliknya kekal dengan pendirian untuk hanya mengutamakan isu-isu rakyat.

Jelas Zakaria, sebagai calon yang mewakili kerajaan, Muhammad Aiman memang sewajarnya membawakan kelima-lima agendanya itu malah berkemampuan untuk melaksanakannya.

“Saya sebagai pembangkang tidak mahu berjanji apa-apa tetapi hanya mahu membawa permasalahan rakyat mengikut keutamaan.

“PH sudah dua penggal sebelum ini mentadbir Selangor jadi memang patut mereka kena melaksanakannya. Saya mewakili pembangkang yang serba kekurangan hanya bawakan suara hati rakyat dan pengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas bertemu dengan penduduk yang mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Semenyih, di sini hari ini.

Sementara itu, jelasnya, berbaki sehari sahaja lagi sebelum hari pengundian Sabtu ini, fokus perjalanan kempen adalah untuk kembali ke beberapa kawasan yang pernah dikunjungi sebelum ini.

“Alhamdulillah, saya rasa sasaran seramai 30,000 pengundi untuk ditemui telah tercapai, kini tinggal untuk pergi semula ke beberapa kawasan tumpuan penduduk seperti di klinik kesihatan dan pasar-pasar.

“Maklum balas penduduk nampaknya sangat menggalakkan. Walaupun saya tahu mereka sudah ada pilihan masing-masing namun saya harap menerusi kempen di saat-saat akhir ni dapat meningkat lagi keyakinan mereka kepada BN,” katanya.- UTUSAN ONLINE

———- ————–

Jom ikuti aktiviti-aktiviti calon Barisan Nasional Pilihan Raya Kecil N.24 Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Zakaria Hanafi di www.facebook.com/ZH4N24 dan www.instagram.com/zakariahanafi_n24/. ‘Bukti, Bukan Sekadar Janji’.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.