Masyarakat Di DUN Semenyih Bersedia Melakukan Perubahan 2 Mac Ini


SEMENYIH, 28 Feb – Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Datuk Dr Asyraf Wajdi penuh yakin dan percaya perubahan bakal berlaku pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih 2 Mac ini.

Menurut beliau berdasarkan pemerhatian dan tinjauan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) mendapati sokongan masyarakat cukup luar biasa untuk menunggu tarikh pembuangan undi dalam usaha untuk sama-sama melakukan perubahan.

“Kita lihat suasana yang amat baik sekali dan saya pergi ke semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) di DUN Semenyih ini dan lihat suasana masyarakat luar biasa mahukan perubahan dan mahukan BN menang kerana kemarahan yang membuak-buak terhadap Pakatan Harapan (PH) yang dari sehari ke sehari menipu kita semua dan menipu rakyat,” katanya.

Terdahulu beliau bersama dengan jentera setempat serta penduduk kampung dalam program santai ‘mengocah’ ikan di Kampung Sesapan Batu Minangkabau.

Asyraf Wajdi seterusnya menambah kerajaan PH tiap-tiap hari melakukan kejutan demi kejutan namun hari ini ianya tidak lagi menjadi kejutan kepada rakyat.

“Kejutan itu tidak lagi menjadi kejutan. Tiap-tiap hari ada isu dan hari ini mereka mahu memperkenalkan kereta terbang. Jadi saya tulis dalam Facebook saya… rakyat mahukan tol percuma atau kereta terbang. Ramai yang nak kereta terbang jadi tol tidak payah dimansuhkan,” sinisnya.

Sehubungan itu beliau menyeru kepada seluruh pengundi DUN Semenyih untuk keluar beramai-ramai pada Sabtu ini dengan mengundi BN.

“Beritahu kepada masyarakat di kampung… 2 Mac ini kita turun awal mengundi dan buat perubahan berikan isyarat kepada kerajaan dengan mengundi BN,” tambahnya lagi – MediaUMNO

—– ——- ——

Jom ikuti aktiviti-aktiviti calon Barisan Nasional Pilihan Raya Kecil N.24 Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Zakaria Hanafi di www.facebook.com/ZH4N24 dan www.instagram.com/zakariahanafi_n24/

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.