Jual Aset LTAT: Tak Mungkin Menteri Pertahanan Seorang Penipu, Sinis Najib


KUALA LUMPUR, 28 Feb – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak tidak mahu menuduh Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu sedang menipu kerana tugas dan tanggungjawab sebagai menteri yang menjaga keselamatan awam adalah sangat berat.

Justeru Najib beranggapan Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu bukan seorang penipu.

“Tetapi, jika Mat Sabu bukan penipu maka Boustead sudah melakukan kesalahan undang-undang kerana telah membuat pengumuman palsu kepada Bursa Malaysia.

“Hukuman ini di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2009 adalah penjara sehingga 10 tahun dan denda sehingga RM3 juta,” tegas Najib dalam hantaran di Facebooknya.

Najib berkata demikian terhadap reaksi balas Mat Sabu mengenai penjualan aset Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Hotel Royale Chulan Bukit Bintang, di sini.

Beberapa hari lepas, Najib mendedahkan pada minggu lepas Hotel Royale Chulan Bukit Bintang milik syarikat LTAT, Boustead Holdings telah dijual kepada syarikat Singapura dengan harga yang agak rendah, hanya RM197 juta walaupun hotel yang bertaraf empat bintang serta mempunyai 400 bilik itu berada di atas tanah hakmilik kekal dan terletak di kawasan tiga-segi emas Kuala Lumpur.

Walaubagaimanapun, pembongkaran Najib mengenai perkara tersebut dinafikan oleh Mat Sabu melalui kenyataan media Menteri Pertahanan yang turut disiarkan di media arus perdana dengan mengatakan ianya masih belum dimuktamadkan.

“Dia kata penjualan itu belum muktamad dan masih dalam proses memilih pembeli dan keutamaan akan diberi kepada pembeli tempatan.

“Dia juga kata tanah dan lokasi hotel itu strategik dan akan masih mencari harga jualan yang lebih tinggi. Maksudnya, masih mahu juallah,” ujar Najib.

Bidas Najib lagi yang juga bekas Menteri Kewangan, kemungkinan Mat Sabu tidak tahu bahawa Bousted Holdings telah membuat pengumuman rasmi kepada Bursa Malaysia mengenai perkara demikian.

“Tetapi, Mat Sabu mungkin tidak tahu bahawa Boustead sudah buat pengumuman rasmi kepada Bursa Malaysia pada hari Selasa minggu lepas.

“Boustead mengesahkan mereka sudah menandatangani surat setuju terima dari syarikat Singapura itu.

“Wang deposit RM3.94 juta (2%) pun sudah masuk poket Boustead,” tegas Najib yang turut memberi pautan dari laman web Bursa Malaysia – http://www.bursamalaysia.com/…/company-announcements/6067217.

Najib turut secara sinis melemparkan persoalan kepada Mat Sabu mengenai perkara berkenaan.

“Abang Mat, bagaimana ni? Siapa yang ‘masak’ sekarang?” soal Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.