Urus Ekonomi Tak Perlu ‘Lampu Aladin’, Tapi Kena Guna ‘Otak’ – Shahrul


KUALA LUMPUR, 27 Feb – Exco Pemuda UMNO Malaysia, Shahrul Nasrun Kamaruddin menempelak kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menggunakan alasan dangkal atas kegagalan mereka menangani masalah ekonomi negara ini.

Dalam hantaran di Facebooknya, Shahrul membidas kenyataan seorang pemimpin dari Parti Amanah Negara (PAN) yang mengatakan PH tiada ‘lampu aladdin’ untuk menyelesaikan masalah ekonomi negara dalam tempoh singkat sebaik berjaya menguasai Putrajaya 9 Mei lalu.

“Sebenarnya pihak kerajaan PH tak memerlukan ‘lampu aladdin’ untuk menyelesaikan masalah ekonomi dalam negara.

“Apa yang kita perlu ada tuan-tuan? Kita cuma perlu ada ‘otak’ untuk selesaikan isu dalam negara.

“Namun malang kerana banyak masalah negara yang berlaku ketika ini disebabkan menteri dan kepimpinan yang tiada ‘otak’. ‘Otak’ tahu ‘otak’? Bukan ‘otak-otak’,” tegasnya sambil meletakkan tanda pagar #KerajaanSepenggal.

Untuk rekod, PH mewarisi Rizab Negara sebanyak RM430 bilion daripada kerajaan terdahulu, Barisan Nasional (BN) tetapi sejak mereka memerintah rizab tersebut semakin menurun, kini ke paras RM416 bilion.

Manakala bagi hutang Kerajaan Persekutuan meningkat daripada RM687 bilion, sekarang kepada RM741 bilion.

Begitu juga dengan aset-aset hak milik kerajaan yang bernilai berbilion ringgit kini menjadi mangsa PH antaranya seperti penjualan aset Tabung Haji yang bernilai RM19 bilion melalui syarikat tujuan khas (SPV), IHH Healthcare Berhad, syarikat Telco M1 bahkan RM80 bilion dana Petronas turut diratah.

Terbaharu, dilaporkan Hotel Royale Chulan Bukit Bintang milik syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Boustead Holdings telah dijual kepada syarikat negara jiran dengan harga RM197 juta pada minggu lepas.– MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.