UMNO Dan PAS Terus Kongsi Pentas Di Semenyih Kempen Untuk BN

SEMENYIH, 27 Feb –  UMNO dan PAS terus menggembleng tenaga dalam usaha memberi keyakinan kepada masyarakat khususnya kalangan pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih untuk memilih calon Barisan Nasional (BN), Zakaria Hanafi pada hari mengundi Sabtu ini.

Bertempat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bandar Bukit Mahkota, pimpinan antara kedua-dua parti berkenaan bergabung tenaga antaranya Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Md. Alwi Che Ahmad; Bekas Timbalan Speaker DUN  Selangor, Ustaz Shafie Ngah yang juga mantan ADUN Bangi; Ketua UMNO Bahagian Bangi, Datuk Mohd Zaidi Md Zain serta bekas calon PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, Mad Shamour Mad Kosim selain beberapa pimpinan lain.

Ahli MT UMNO, Datuk Alwi Che Ahmad berkata parti itu serta PAS tidak wajar bergaduh antara satu dengan lain dan kebersamaan antara kedua-dua parti berkenaan bukanlah perkara baru.

“Untuk sekian kalinya sejarah berulang di mana UMNO dan PAS bersama dalam wadah ini. Sebenarnya dulu dah bersama tahun 1946, sama-sama menuntut kemerdekaan menghalau penjajah dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

“Kemudian kita berpisah 1951 hingga 1953 atas sebab-sebab tertentu tetapi kemudiannya dicantumkan oleh pemimpin besar kita Allahyarham Tun Abdul Razak dan Tan Sri Asri Muda pada 1973 menubuhkan gagasan BN yang bersimbolkan dacing menggantikan kapal layar, tetapi Allah menguji kita kita hanya bersama selama tiga tahun dan hari ini bersama kembali,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Ceramah Santai di PDM Bandar Bukit Mahkota, di sini, malam tadi.

Alwi seterusnya menegaskan atas dasar itulah hari ini pihak tertentu akan cuba memecahbelahkan kerjasama yang kembali bertaut itu.

“UMNO dan PAS tidak wajar bergaduh antara satu dengan yang lain. Jangan dengar adu domba. Orang akan adu domba UMNO dan PAS ini untuk memisahkan kita. Sebenarnya bukan sahaja umat Islam yang gembira dengan kerjasama ini, bukan sahaja NGO Islam gembira tetapi seluruh makhluk Allah yang taat kepada Allah gembira Islam bersatu dibawah UMNO dan PAS bersama-sama.

“Kalau di Semenyih ini kita hantar mesej, kemudian di DUN Rantau pun kita hantar mesej saya yakin mereka akan berubah sikap. Kita mesti bertanggungjawab atas perbuatan kita dan 2 Mac ini adalah sangat penting,” ujarnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.