Tuduh BN Pencuri, Sebenarnya Kamulah Pencuri – Rahman Dahlan


SEMENYIH, 27 Feb – Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, Pakatan Harapan (PH) melempar pelbagai tuduhan kepada Barisan Nasional (BN) kononnya pencuri tetapi sebenarnya merekalah pencuri.

Jelas beliau, PH dan Warisan mencuri ramai pemimpin UMNO di Sabah namun yang pasti UMNO Sabah terus kukuh kerana kekuatan parti keramat ini bukan kepada pemimpin tetapi adalah kerana akar umbi.

“UMNO ini kekuatannya bukan kepada pemimpin tetapi adalah akar umbi. Sebab itu bila lima orang Ahli Parlimen Sabah, dua orang senator UMNO Sabah, lima orang ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Sabah dan lebih 20 orang ketua bahagian berhijrah ke PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan Warisan, namun UMNO Sabah tetap kukuh.

“Satu pergi, sepuluh mari… BN yang menang di Sabah tapi mereka curi ADUN kita. Yang mencuri mereka… Warisan curi… PPBM curi… tapi tidak mengapa, kita akan lawan balik pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan kita akan pastikan mereka yang durjana kerana mengkhianati parti… akan kita pastikan kalah pada pilihan raya akan datang ini.

“…sebab apa mereka akan kalah? Bila mereka masuk PPBM apa mereka kata? Saya ini masuk PPBM bukan kerana apa… tapi kerana nak bantu rakyat dalam kawasan saya… jadi saya nak tanya, kalau kamu masuk PPBM nak bantu rakyat, kenapa masuk PPBM yang potong subsidi rakyat. Sebenarnya kamu lompat kerana jawatan… dijanjikan sesuatu,” ujar beliau ketika berucap pada Program Sembang Santai bersama calon BN, Zakaria Hanafi di Kampung Sentosa malam tadi.

Rahman turut membidas sikap pemimpin kerajaan hari ini yang disifatkan tidak berhati perut kerana di kala rakyat hidup menderita dengan pelbagai masalah dan tekanan kewangan, PH pula sibuk merebut jawatan dan bergaduh siapa mahu menjadi perdana menteri.

Justeru jelas beliau, pengundi di Semenyih ini harus membuat keputusan bijak pada 2 Mac ini sebagai amaran keras kepada kerajaan. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.