Tol Percuma Waktu Tidur: Tawaran Tidak Ikhlas Kerajaan


SEMENYIH, 27 Feb – Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyifatkan pengumuman kerajaan berkaitan tol percuma di waktu malam adalah satu tawaran tidak ikhlas.

Jelas beliau, ini juga sebenarnya adalah gula-gula kerajaan khususnya menjelang hari mengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

“Ada tiga siri gula-gula… yang pertama RM100 untuk anak muda, kedua RM100 untuk pelajar universiti dan ketiga tol percuma waktu orang tidur.

“Saya kira ini adalah satu perkara yang tidak sesuai… kalau serius nak bantu rakyat, waktu puncaklah sepatutnya percuma, waktu lain dikenakan bayaran. Jadi, ini adalah tawaran tidak ikhlas,” ujar beliau kepada media selepas menyertai program Kor Munajat Akifi Semenyih anjuran Pergerakan Wanita UMNO Negeri Selangor dengan kerjasama Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor, semalam.

Sabtu lalu, kerajaan bercadang menghapuskan mekanisma kutipan tol sedia ada dan sebagai ganti, caj kesesakan (congestion charge) akan diperkenalkan di mana pengguna lebuh raya akan hanya dikenakan caj yang sama dengan kadar tol sedia ada pada waktu puncak selama enam jam sehari.

Kadar tol dihapuskan sama sekali pada waktu ‘Off-peak’ antara jam 11 malam dan 5 pagi, di mana penggunaan lebuh raya adalah percuma.

Lebuhraya terbabit adalah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.