Sekolah Vernakular : Kenyataan Nazri Pandangan Peribadi Bukan Mewakili Pendirian UMNO


KUALA LUMPUR, 27 Feb – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Haji Hasan menegaskan kenyataan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berhubung status sekolah vernakular di Malaysia baru-baru ini adalah pandangan peribadi yang tidak mewakili pendirian dan pandangan UMNO.

Jelas beliau UMNO, sebagai sebuah parti sangat menghormati dan memahami keperluan sekolah vernakular di Malaysia.

“UMNO berpendirian sekolah jenis ini perlu terus wujud di negara kita.

“Ini merupakan pendirian konsisten dan tegas UMNO dan BN yang selari dengan keperluan Malaysia”, katanya dalam satu kenyataan di sini.

UMNO dan BN sebagai sebuah parti politik tegas beliau lagi sentiasa komited dalam mengiktiraf dan meraikan kepelbagaian bangsa dan etnik di Malaysia termasuklah hak untuk beragama dan mendapat pendidikan yang selayaknya.

“Inilah karakter dan ciri-ciri penting negara kita yang majmuk.

“Malah, persefahaman dan keupayaan meraikan kepelbagaian inilah yang telah menjadi kelebihan dan kekuatan UMNO dan BN selama ini”, ujarnya.

Tambah beliau semasa menguruskan Kerajaan sebelum ini sekalipun, komitmen serta pendirian UMNO dan BN berhubung sekolah vernakular dapat dilihat dengan jelas sama ada dalam bentuk sokongan infrastruktur, pengiktirafan dan pemberian peruntukan yang diperlukan.

“Saya berharap isu ini tidak dipolitikkan secara tidak bertanggungjawab oleh mana-mana pihak terutamanya dengan cara yang tidak menggambarkan pendirian sebenar UMNO dan BN”, katanya.

Mengenai tindakan Nazri tersebut yang telah mengundang pelbagai pelbagai reaksi dan maklum balas, Mohamad berkata Nazri sendiri telah mengambil pertanggungjawaban dengan membuat penjelasan bagi menerangkan apa yang beliau maksudkan semasa ucapan di Semenyih tersebut.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.