Rakyat Yakin Permuafakatan UMNO-PAS Beri Kebaikan Kepada Negara – Dr Shamsul, Ustaz Nasrudin


KUALA LUMPUR, 27 Feb – Majoriti rakyat semakin memberikan reaksi positif terhadap permuafakatan yang wujud antara UMNO dan PAS.

Walaupun wujud segelintir pihak yang tidak senang hati melihat perpaduan antara kedua parti terbesar orang Melayu/Islam itu tetapi ia tidak melunturkan semangat pendukung yang cintakan perpaduan ummah untuk melihat kerjasama tersebut semakin utuh di negara ini.

Perkara tersebut sepakat dinyatakan oleh Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi dalam Diskusi N24 Semenyih bertajuk ‘UMNO-PAS, Kebersamaan Dan Solidariti Melayu, Islam’ yang disiarkan secara langsung di Facebook UMNO Online, malam tadi, di sini.

Menurut Dr. Shamsul Anuar, kerjasama antara UMNO dan PAS bukan sahaja menggembirakan rakyat tetapi mereka juga mengharapkan kedua-dua parti mampu mendepani segala cabaran yang mendatang.

“Ini sesuatu yang mengembirakan kepada kedua-dua ahli parti, tetapi (juga) kepada rakyat yang mahu dua parti orang Melayu ini bersama-sama untuk menghadapi cabaran yang semakin mencabar dan semakin hebat ketika ini.

“Hasil dari kebersamaan dalam pelbagai isu, respon dan reaksi rakyat bukan hanya di kalangan ahli parti tetapi rakyat biasa cukup baik sekali. Di mana-mana tempat saya hadir mereka berkata bersyukur kepada Allah, dua parti utama ini yang sebenarnya menjadi impian rakyat dapat bersama.

“Sebab itu kita pergi ke mana-mana tempat di Semenyih, situasi kempen berhadapan pilihan raya kecil, situasi rakyat cukup baik sekali, penerimaan di pentas yang sama sama ada di pusat, peringkat negeri atau bahagian. Ini petanda besar maknanya untuk masa depan khususnya umat Islam, orang Melayu,” ujarnya.

Dr. Shamsul Anuar yang juga Ahli Parlimen Lenggong seterusnya percaya hubungan baik antara UMNO dan PAS akan memberi kebaikan kepada rakyat Malaysia keseluruhannya.

“UMNO dan PAS bukan hanya membawa kepentingan parti orang Islam tapi kita memberi kebaikan kepada rakyat keseluruhannya. Kita parti yang memahami majmuk keseluruhannya.

“Hakikatnya dapat lihat bahawa hubungan dua parti terbesar orang Melayu ini benar-benar ikhlas. Saya percaya di kedua-dua parti pimpinan meletakkan kepentingan agama melebihi dari kepentingan lain. Juga melihat bahawa ada masalah yang lebih besar, yang perlu sama-sama tangani demi masa depan agama, orang Melayu, ekonomi dan sebagainya,” tambahnya.

Jelas beliau lagi, sememangnya sesuatu yang sukar untuk membina permufakatan bagi dua pihak yang berpuluh tahun bertelingkah tetapi sudah pasti ianya mampu dirungkai apabila kembali kepada asas yang sama.

“Sudah tentu perkara-perkara kecil yang disebut Tuan Guru Abdul Hadi di Melaka baru-baru ini bahawa kita meletak kepentingan lebih besar di hadapan. Bukan mudah dua saudara yang suatu ketika bertelingkah, selisih faham terlalu lama dan akhirnya tiba di generasi kita dapat bersama.

“Kita dapat lihat hubungan akrab di (PRK) Cameron Highlands dan perbezaannya ketara di Semenyih dan sudah melangkah lebih jauh di Semenyih. Sudah ada pembentukan jawatankuasa peringkat negeri, bahagian dan gerakan sudah mula turun ke bawah. Ini melihatkan perubahan berlaku suatu yang baik sekali dan berlaku perasaan yang begitu hiba.

“Saya percaya ini berlaku kerana demi kepentingan yang lebih besar dan saya percaya kedua-dua parti akan mengetepikan soal-soal lain kerana agama, bangsa dan negara, kedua-dua parti ini menuju ke arah sama tapi pendekatan yang berbeza. Ini sesuatu kebaikan yang terbaik bukan sahaja orang Islam dan rakyat Malaysia,” katanya lagi.

Manakala bagi Nasrudin, beliau melihat kerjasama yang terjalin antara UMNO dan PAS ini amat positif tetapi ia tidak lari daripada halangan-halangan yang perlu ditempuhi dan atasi dengan sebaiknya.

“Berlaku kerjasama ini sangat positif dan Alhamdulillah walaupun secara realiti tak dapat dinafikan adanya kekangan-kekangan untuk menjurus kerjasama antara PAS dan UMNO ni, bukan sahaja kekangan dalam parti masing-masing tetapi juga pihak yang tidak gembira dengan kerjasama ini yang mahukan umat Islam kekal berpecah.

“Daripada perpecahan umat Islam mereka terus memerintah dan mencengkam umat Islam, mereka gunakan kaedah ‘divide and rule’, mereka sangat cemas kerjasama semakin hari semakin erat antara PAS dan UMNO. Mereka juga akan melancar fitnah, propaganda untuk terus melagakan dan memecahkan antara dua parti terbesar mewakili umat Islam ini.

“Setelah melalui ‘natural’ perjalanan politik, ahli parti dengan sendirinya memahami tanpa perlu kita memaksa, mereka telah membaca perkembangan, melihat ke depan berbekal ilmu yang ada, Alhamdulillah… semakin hari semakin positif, kerjasama dalam politik dari (PRK) Sungai Kandis hingga Semenyih ia dapat membibitkan ‘Al-Ukhwah’ semakin hari semakin erat dan mula mengenal hati budi masing-masing, dari situ semakin baik dan semakin positif,” katanya.

Senario politik tanah air yang berlaku mutakhir ini juga menyebabkan rakyat amat mengharapkan wujudnya perpaduan antara sesama umat Islam di negara ini, tambah Ustaz Nasrudin.

“Perkembangan mutakhir ini kita dapat saksikan senario politik semasa, keadaan umat Islam semakin ditekan dan ditindas daripada pelbagai peringkat ataupun dari segenap arah.

“Maksud ditindas dan ditekan ini bukannya secara fizikal tetapi pelaksanaan Islam, cara hidup seorang Islam itu semakin terhimpit. Mutakhir ini penghinaan terhadap Islam, kepada Nabi Muhammad SAW semakin hari semakin berleluasa dan Islam dipandang begitu rendah oleh pelbagai pihak terutamanya musuh-musuh Islam yang terkesan dengan Islamofobia dan anti Islam.

“Politik, ekonomi yang semakin terhakis dari umat Islam maka perlu kepada kebangkitan umat Islam untuk menguasai politik, ekonomi dan sosial. Maka umat Islam harus bersatu dan tiada pilihan lain. Bersatu ini bukannya kerana faktor kebendaan, kekuasaan, pengaruh semata-mata tapi yang penting diajar oleh kita “Wa’tasimu bihablillahi jami’a wala tafarroqu” (Surah Ali-Imran: 103).”Berpegang teguh kepada tali Allah dan jangan berpecah-belah.” Tali Allah iaitu Al-Quran Nur Kareem, kerana Islam menyebabkan semua bangsa selamat. Islam juga menyebabkan ekonomi, politik selamat,” jelasnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.