PRK Semenyih: Seiring Sejalan… Jentera BN Dan PAS Serasi Bantu Kempen Menangkan Zakaria

SEMENYIH, 27 Feb – Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang berbaki dua hari sahaja lagi memasuki fasa pecutan terakhir dengan parti-parti yang bertanding bukan sahaja giat memasang poster dan juga bendera masing-masing malah melipatgandakan usaha merayu undi termasuklah di pasar-pasar malam, warung-warung kopi dan sebagainya.

Tidak ketinggalan jentera Barisan Nasional (BN) walaupun memasuki gelanggang PRK kali ini berstatus pembangkang, namun semangat perjuangan tidak luntur malah pada kali ini ianya mencipta kebersamaan yang berterusan antara UMNO dan PAS selepas mencatatkan keputusan cemerlang pada PRK Cameron Highlands sebelum ini.

Malah UMNO-Online yang secara kebetulan turut berada di Pasar Malam Pekan Semenyih sebelum ini dapat melihat secara dekat kebersamaan jentera parti yang melakukan ‘walkabout’ melibatkan pimpinan dan jentera UMNO/PAS serta rakan-rakan parti komponen lain termasuklah Pengarah PRK BN DUN Semenyih, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan calon BN, Zakaria Hanafi; Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, Datuk Abdul Rahman Dahlan, Datuk Zahida Zarik Khan serta pimpinan PAS Gombak. Tidak ketinggalan pimpinan MCA dan MIC yang turut bersama.

Bagi Exco Pemuda UMNO Malaysia, Mohd Faizal Supar dalam apa jua keadaan, semangat dan perjuangan parti untuk terus membela rakyat tetap menjadi keutamaan walaupun bergelar pembangkang.

“Hari ini kita turun bersama pimpinan peringkat tertinggi… malah jentera PAS pun turut bersama pada ‘walkabout’ di Pasar Malam Pekan Semenyih. Lihat koordinasi jentera antara UMNO dan PAS ini cukup baik.

“Malah daripada sudut sokongan kepada BN pula nampaknya amat baik dan menggalakkan apabila kebanyakan pengguna kenderaan yang melalui serta melihat jentera kita masing-masing akan membunyikan ‘hon’. Inilah yang membakar semangat kami,” katanya.

Sementara itu  salah seorang jentera PAS daripada Gombak, yang dikenali Mwan yang  turut bersama dalam ‘walkabout’ ini berkata mereka datang ke Semenyih khusus sepertimana arahan pimpinan parti.

“Kita berkolaborasi bersama UMNO Bahagian Gombak untuk di Pekan Semenyih. Kita meyakinkan pengundi-pengundi PAS untuk mengundi BN pada kali ini atas strategi politik dan gabungan ummah serta kesejahteraan Islam,” katanya.

Menjawab pertanyaan tentang tindakan pihak tertentu yang cuba menimbulkan kesangsian atas kerjasama berkenaan beliau memberitahu itu adalah strategi politik masing-masing.

“Dari sudut keberkesanan tidak memberi kesan kepada jentera PAS daripada Gombak terutamanya sebab kita istiqamah dan menurut wala’ daripada arahan pimpinan. Jadi kita ‘very solid’. Kita berkampung bermula daripada hari penamaan calon sehingga ke hari mengundi. Cuma ada yang ‘on off’  pada hari biasa dan pada hari minggu kita turun maksimumlah,” tambahnya.

Ketika kru UMNO-Online membuat tinjauan di sekitar Pekan Semenyih, seorang sukarelawan parti yang ditemui ketika menggantung bendera BN di tepi jalan besar turut berkongsi pandangan bahawa perjuangan di dalam parti akan tetap diteruskan baik ketika BN menjadi kerajaan atau sebaliknya.

Apa yang penting kata Ismadi, 35, yang berkhidmat di sektor swasta di Kuala Lumpur, perjuangan untuk membela agama, bangsa dan tanah air serta perjuangan untuk seluruh rakyat terus terpahat dan akan terus dilipatgandakan agar BN akan mendapat kembali kepercayaan rakyat untuk meneraju negara.

“Orang nak cakap apa cakaplah bang… yang penting nawaitu saya ikhlas dalam perjuangan. Orang yang sebelum ini melihat BN teruk dan keji hari ini rata-rata cukup menyesal. BN tetap mempunyai jasa yang tersendiri dan hari ini rakyat boleh menilai mana yang kaca dan mana yang permata.

“Apa yang saya gantung bersama rakan-rakan lain ini adalah panji. Panji sebuah parti yang telah banyak berjasa kepada rakyat dan juga negara. Tidak ada sesiapa pun yang boleh nafikan. Orang boleh memburukkan BN namun jasa-jasanya tidak akan lupus begitu sahaja. Insya-Allah BN akan bangkit dan di Semenyih ini insya-Allah pengundi akan membuat pilihan terbaik dengan memilih Zakaria Hanafi yang merupakan calon BN,” ujarnya lagi. – MediaUMNO

——— ——— ———

Jom ikuti aktiviti-aktiviti calon Barisan Nasional Pilihan Raya Kecil N.24 Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Zakaria Hanafi di www.facebook.com/ZH4N24 dan www.instagram.com/zakariahanafi_n24/

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.