‘Komitmen Kami Menangkan Zakaria  Di PRK Semenyih’ – Bekas Timbalan Speaker DUN Selangor

SEMENYIH, 27 Feb – Bekas Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Ustaz Shafie Ngah menyifatkan kebersamaan UMNO dan PAS pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih bukan hubungan ragu-ragu dan pada masa yang sama turut menunjukkan komitmen untuk turun bersama jentera ke akar umbi bagi meyakinkan pengundi untuk memilih calon Barisan Nasional (BN) Zakaria Hanafi.

“Kita akan terus ke akar umbi untuk meyakinkan pengundi selain menemui seramai mungkin masyarakat yang cuak dan takut untuk mengundi BN. Ramai lagi penyokong PAS yang tidak berani nak pangkah dacing… maklumlah 60 tahun, tetapi saya bangun dan berdiri serta berkata Shafie Ngah bersama anda dan jika saya mengundi di sini saya pasti memangkah BN.

“Kepada yang mengundi di Semenyih… 2 Mac nanti akan datang rombongan yang merayu-rayu dan memancing-mancing undi. Jawablah dengan lidah yang fasih,  hati yang tenang, dada yang lapang parti mana yang akan tuan-tuan pilih.

“Pertama saya jawabkan… orang yang akan tuan-puan pilih adalah Zakaria Hanafi dan parti yang akan tuan-puan undi adalah BN,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Ceramah Santai di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bandar Bukit Mahkota, di sini, malam tadi.

Selain beliau beberapa pimpinan antara kedua-dua parti berkenaan bergabung tenaga antaranya Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Alwi Che Mat; Datuk Mohd Zaidi Md Zain yang merupakan Ketua UMNO Bangi; serta bekas calon PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, Mad Shamour Mad Kosim bersama beberapa pimpinan lain.

Ustaz Shafie turut menegaskan bahawa kebersamaan UMNO dan PAS didambakan oleh pelbagai pihak.

“Malah pertemuan saya dengan pegawai kerajaan persekutuan dan kerajaan Negeri Selangor serta guru-guru di sekolah mereka sangat mendambakan perkembangan yang positif hari ini. Mereka rindukan kebersamaan UMNO dan PAS yang dulunya bercerai, berbalah dan bersengketa. Alhamdulillah hari ini kita duduk sepentas, bersemuka serta mengatur langkah untuk membenamkan Pakatan Harapan (PH) pada PRK ini.

“Bagi mereka ini satu nikmat yang tidak terjangka melihat ujian Allah SWT berikan kepada PAS, ujian Allah SWT berikan kepada BN pada PRU lalu adalah sesuatu di luar jangkaan yang menjadikan kita boleh duduk semeja pada hari ini.

“Ini orang sebutkan sebagai nikmat. Nikmat yang dulunya kamu bercerai-berai, berpisah, bersengketa. Kita tidak ada lagi pilihan lain melainkan mesti bersama untuk membawa langkah yang lebih hebat bukan sahaja menumbangkan PH tetapi memimpin Malaysia dalam PRU akan datang… insya-Allah,” tambahnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.