Zakaria Puas Hati Proses Pengundian Awal

HULU LANGAT 26 Feb. – Calon Barisan Nasional (BN), Zakaria Hanafi berpuas hati dengan perjalanan proses pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang dijalankan hari ini.

Menurutnya, perjalanan proses dilihat cukup teratur dan tidak berlaku sebarang kesesakan sekali gus memberikan keselesaan kepada pengundi bagi menjalankan tanggungjawab di pusat pengundian yang telah dibuka sejak pukul 8 pagi tadi.

“Setakat ini saya berpuas hati malah proses pengundian awal juga berjalan lancar kerana saya difahamkan kesemua mereka telah diminta untuk mengundi mengikut jabatan masing-masing.

“Keadaaan teratur ini tentunya bagi mengelakkan kesesakan di pusat pengundian malah pengundi juga perlu bertugas semula selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat pusat mengundi bagi pengundian awal PRK Semenyih di Dewan Serbaguna Batallion 4, Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih di sini hari ini.

Zakaria yang tiba kira-kira pukul 8. 50 pagi tadi, meluangkan masa hampir sejam untuk melihat proses pengundian di pusat mengundi tersebut yang bakal menyaksikan 761 anggota PGA dan pasangan bakal menunaikan tanggungjawab masing-masing. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.