Veteran UMNO dan As-Sabiqun PAS Main Peranan Demi Perjuangan Untuk Rakyat – Annuar Musa

SEMENYIH, 26 Feb – Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa penuh yakin dan percaya golongan veteran parti baik dari UMNO dan PAS masing-masing memainkan peranan tersendiri dalam perjuangan hari ini.

Menurut beliau mereka antara yang awal dalam perjuangan parti dalam membela kepentingan dan kebajikan rakyat dengan terus istiqamah menerusi saluran yang ada dan hari ini mereka masih lagi berjuang menerusi platform masing-masing.

“Kita dalam UMNO ada veteran UMNO manakala PAS pula dipanggil As-Sabiqun. Mereka ini sama tetapi nama sahaja yang lain dan aktif di dalam parti. UMNO dan PAS masing-masing mempunyai sejarah perjalanan politik yang cukup lama dan kekal bersaudara. Umat Nabi yang satu, kiblat yang satu, syahadah yang satu… cuma khilaf… berbeza pendapat dan ini bukan perkara luar biasa dalam sejarah Islam.

“Apabila ada ancaman daripada luar… meminjam kata-kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang malam tadi di Melaka yang sepentas bersama saya…, beliau menyebut anjing sekampung bergaduh dan bertengkar, tiba-tiba rusa masuk kampung anjing berhenti berbalah sesama mereka dan kemudiannya mengejar rusa berkenaan. Saya fikir analogi yang menarik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perjumpaan bersama veteran Melayu di Dewan Datuk Mohd Said sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih, semalam. Turut serta Hj Subki Latif; Yang dipertua PAS Hulu Langat, Dr Rosli Yaakob; Bendahari PAS, Razman Zakaria dan pimpinan veteran UMNO serta yang lain.

Annuar seterusnya menambah pertemuan pada hari ini mempunyai makna yang cukup besar dan mempunyai signifikan yang tersendiri

“Peranan kita Alhamdulillah hari ini ada pertemuan. Mereka (veteran) ini juga ada pengaruh tersendiri… ada budi, ada jasa masing-masing. Mereka ini sewajarnya menjadi enjin kekuatan menjayakan politik baru negara dan umat Islam.

“Harapan pucuk pimpinan kedua-dua parti,  kita ke arah membentuk  satu ‘new deal, new hope’. Ini  akan menerima cabaran kerana orang akan menghalang penyatuan antara kedua-dua parti… kita harus perbetulkan kembali meletakkan politik negara kita ini pada dasar dan asas yang betul,” tambahnya lagi yang Ahli Parlimen Ketereh. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.