UMNO-PAS Tidak Perlu ‘Berkahwin’, Tetap Bekerjasama – Hadi


MELAKA 25 Feb. – PAS membuat keputusan untuk tidak membentuk gabungan dengan UMNO namun kedua-dua parti itu akan tetap bekerjasama bagi memastikan kesinambungan perjuangan orang Melayu dan umat Islam.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, gabungan atau ‘perkahwinan’ antara Pas dan UMNO tidak mungkin berlaku kerana menganggap kedua-duanya sebagai parti adik-beradik.

“Kita adik-beradik memang tidak boleh bernikah tetapi apa yang penting kita bekerjasama demi satu matlamat. Jadikan pertemuan demi pertemuan untuk mengembalikan kekuatan penyatuan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ceramah perdana PAS dan UMNO Melaka bertajuk ‘Islam Memimpin’ di Dewan Muallim Bukit Katil, di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa; Pesuruhjaya PAS Melaka, Kamaruddin Sidek dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

Menurut Abdul Hadi, perpecahan yang berlaku dalam kalangan umat Islam dan orang Melayu begitu ketara pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada Mei tahun lalu.
Katanya, orang Melayu dan umat Islam mudah berpecah-belah, sebagai contoh sekiranya berpecah kepada lima maka akan ada lima buah parti.

“Lebih menyedihkan, ada generasi muda yang kurang faham sejarah negara dan memilih parti lain hanya kerana marah dengan UMNO dan PAS, jadi mereka tersalah pilih.

“Islam sepatutnya menjadi titik menyatukan kita semua. Dengan cabaran yang mendatang ketika ini kita perlu bersatu. Benci atau berkelahi ada batasnya, boleh jadi orang itu jadi sahabat kita suatu hari nanti. Lebih lagi dalam Islam kita semua adalah bersaudara,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.