UMNO-PAS Satu Matlamat Terus Kerjasama Hingga PRU-15 Menuju Putrajaya


BUKIT KATIL, 25 Feb – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, UMNO dan PAS harus meneruskan kerjasama yang terjalin agar kedua-dua parti ini dapat menakluki Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Justeru jelas beliau, kedua-dua parti ini harus saling ingat-mengingati dan berpegang kepada prinsip masing-masing demi kekuatan bersama.

“Kita harus melatih semua jentera, melatih semua pemimpin untuk bekerjasama bagi menegakkan kebenaran dalam satu saf.

“UMNO kekal sebagai sebuah parti, PAS juga sebagai sebuah parti kerana yang menyatukan kita adalah tali Allah. PAS ada kekuatan yang mungkin tidak ada pada UMNO, jadi biarlah kekal dengan cara masing-masing… ada cara dan kaedah masing-masing,” ujar beliau ketika berucap di Ceramah Perdana bertajuk ‘Islam Memimpin, Demi Perpaduan Ummah’ UMNO dan PAS di Dewan Muallim, Bukit Katil, malam tadi.

Tambah beliau, UMNO dan PAS boleh diumpamakan seperti dua beradik, cuma dalam perjalanan panjang mencari kehidupan, kedua-duanya berbeza pendapat namun bukan berbeza matlamat.

“Kita dari rumpun yang sama cuma berbeza pendapat, makin lama jadi makin degil tetapi masing-masing tidak pernah lupa asal yang satu.

“Maka Allah gerakkan keadaan untuk bawa hati yang jauh menjadi dekat, yang lupa jadi ingat… tapi cara Allah lakukan amat perit… barangkali sebagai ujian. Jadi, marilah kita kembali bersama demi kepentingan agama Islam,” ujar beliau.

Annuar turut mengulas, walaupun PRU-14 menunjukkan kakitangan awam menolak BN tetapi kini ianya telah berubah.

Katanya, ia dapat dlihat semasa PRK Cameron Highlands di mana undi awal menunjukkan 85 peratus kakitangan kerajaan memilih untuk menentang kerajaan baru pimpinan PH.

“Begitu juga dengan peti undi Orang Asli, dua hari selepas penamaam calon mereka diugut tapi makin diugut makin mereka tekad menolak PH,” jelas beliau lagi.

Manakala dalam majlis yang sama, Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh turut berkata kesepakatan antara UMNO dan PAS telah membuatkan segelintir mencemburuinya.

“Kesepakatan UMNO dan PAS telah membuatkan ramai orang yang cemburu, tidak puas hati, bercerita ia untuk apa, ada yang kata UMNO tak sokong PAS, PAS tak sokong UMNO.

“Kita akan terjemahkan kesepakatan ini menuju ke PRU-15, kita bersama-sama menempuh gelombang untuk kembali ke Putrajaya,” tegasnya.

Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah itu juga berkata di Melaka, permuafakatan UMNO dan PAS di negeri tersebut berjalan dengan baik di peringkat cawangan lagi. Justeru beliau melahirkan penghargaan kepada PAS negeri yang bersama-sama dengan kepimpinan UMNO membina kekuatan baru.

Turut hadir dalam majlis tersebut, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Pesuruhjaya PAS Melaka, Kamaruddin Sidek.- MediaUMNO