UMNO-PAS… Kita Lupakan Sengketa Lama Demi Agama, Bangsa dan Negara – Johan

SEMENYIH, 25 Feb – Pengarah Operasi Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Datuk Johan Abdul Aziz berharap kerjasama antara UMNO dan PAS terus diperkukuhkan dan melihat ianya sebagai rahmat Allah swt.

Ketika berucap di pekarangan rumah Wan Azhar, Taman Tasik Semenyih yang turut menampilkan beberapa pimpinan PAS dekat sini malam tadi, beliau turut menyusun sepuluh jari memohon kemaafan seandainya tersalah kata dan sebagainya selama ini.

“Jika ada salah tutur kata, bahasa dan sebagainya saya menyusun sepuluh jari memohon kemaafan… inilah rahmat Allah pada masa ini.

“Jadi saya harapkan kerjasama ini kita teruskan, kita pedulikanlah apa yang di luar sana yang menyatakan macam-macam dan sebagainya lagi,” katanya sambil mendapat tepukan oleh mereka yang berada di pekarangan rumah berkenaan.

Dalam ucapannya, beliau turut menyelitkan pantun untuk mengambarkan kerjasama antara kedua-dua parti berkenaan.

“Hulu beranang hilir beranang,
Tengah-tengah kampung dacing;
kerjasama UMNO dan BN serta Pas bukannya senang,
Inilah rahmat Allah pada masa ini.”

Johan seterusnya mengimbau bagaimana kerisauannya pada minggu pertama kerjasama bagi PRK kawasan berkenaan.

“Apabila minggu pertama macam-macam yang kita dengar… saya mesej Roslan Syahir Mohd Syahir (Pengarah Pilihan Raya Pas Selangor). Jaga-jaga jangan esok berlaku tuduh menuduh antara kita… isu dianggap ‘spin’ UMNO dan sebagainya. Tuduhan RM90 juta… ini saya kira fitnah yang cukup besar dilakukan oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Jadi pedulikanlah… biarlah mereka menjawab di sana.

“Bagi saya dengan keikhlasan kita bersama ini mari kita teruskan kerana apa… demi agama, bangsa dan negara,” tambahnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.