Sejarah Buktikan Bukan Baru Sekarang PAS dan UMNO Jalin Kerjasama – Hadi


BUKIT KATIL, 25 Feb – Pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bukanlah kali pertama UMNO dan PAS menjalinkan kerjasama dan permuafakatan, ujar Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Haji Abdul Hadi Awang.

Menurutnya, jika diungkap sejarah, ketika penjajah British mahu mencengkam agama Islam dan bangsa Melayu di negara ini dengan hasrat menubuhkan Malayan Union, ketika itulah semua orang Melayu melalui pelbagai gabungan persatuan bangkit menentang.

“Orang Melayu bersatu, semua NGO (Pertubuhan Bukan Kerajaan) persatuan Melayu bergabung dalam satu United Malays National Organisation (UMNO) termasuk dalam kalangan-kalangan ulama’ syarikat Islam (Hizbul Muslim), PAS tiada lagi masa itu, termasuk ayah saya sendiri jadi Naib Ketua UMNO Bahagian di Marang, Almarhum Yahya Junid (Tuan Guru) jadi pemimpin UMNO di Kedah.

“Apabila memikirkan perlunya mempertahankan politik Islam secara ilmu, maka ulama’-ulama’ bermuzakarah di Muar Johor tahun 1950 terdiri daripada Biro Agama UMNO dan ulama’-ulama’ pelbagai kalangan pemikir Islam, kemudian di Kuala Lumpur, di Pulau Pinang mereka bersetuju menubuhkan PAS – Persatuan Islam Semelayu,” katanya dalam ceramah perdana UMNO dan PAS, bertajuk ‘Islam Memimpin, Demi Perpaduan Ummah’ di Dewan Muallim, di sini malam tadi.

Turut hadir dan memberi ucapan sebelumnya Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Pesuruhjaya Pas Melaka, Kamaruddin Sidek.

Tambah Abdul Hadi lagi, begitu juga walaupun terdapat perbezaan pendapat hingga masing-masing bertanding di pilihan raya umum dengan UMNO bersama Perikatan memperolehi 51 kerusi manakala PAS hanya satu kerusi, kedua-duanya tetap bersatu di dalam Parlimen.

“Tetapi bersatu di Parlimen, mendesak untuk meletakkan Islam dalam perlembagaan, di mana wakil PAS termasuk pendukung Islam dalam UMNO, kalangan Raja-raja menghantar memorandum untuk Suruhanjaya Reid meletakkan Islam adalah agama Persekutuan. Dalam masa yang sama kita menerima orang asing yang datang ke sini sebahagian daripada kita kebebasan kepada yang bukan beragama Islam, hak-hak beragama. Ini tidak jadi salah, ‘tiada paksaan dalam agama’, tetapi Islam agama Persekutuan.

“Ini titik persamaan PAS dan UMNO. Ini bukan kali pertama kita bersatu, berlaku dalam sejarahnya. Dan apabila diadakan sidang Afro-Asia di Bandung dianjurkan negara yang sudah merdeka, Almarhum Dr Burhanuddin Al-Helmi dan Saadon Zubir, PAS dan UMNO mewakili Tanah Melayu. Ini ada sejarahnya, walaupun kita pembangkang kita menyampaikan suara Islam, ada muhasabah.

“Tahun 1969, bila berlaku 13 Mei berlaku keadaan negara berada dalam ancaman, kaum Melayu perlu dikuatkan, PAS menyertai kerajaan campuran 1973 dan 1974 ditubuhkan Barisan Nasional, Perikatan dibubarkan. Kemudian kita berpecah pada tahun 1979,” jelasnya lagi.

Dalam ucapannya juga, Ahli Parlimen Marang itu berkata UMNO dan PAS ibarat ‘adik-beradik’ yang walaupun berbeza pandangan tetapi mempunyai matlamat yang sama membela serta mempertahankan Islam dan orang Melayu di negara ini. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.