Betul Kata MB Selangor, Lihat ‘Track Record’ Untuk Pilih Pemimpin – Rizam

SEMENYIH, 25 Feb – Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail menyeru pengundi di Semenyih sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) ini, agar mengikut saranan Menteri Besar Selangor untuk melihat ‘track record’ pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di negeri terbabit bagi memilih pemimpin.

Jelas beliau, dengan cara inilah segala pekung akan dapat dibuka dan rakyat boleh membuat penelitian.

“… maka rakyat akan dapat melihat pelbagai kelemahan seperti status pelaksanaan kerajaan negeri Selangor paling buruk mengikut laporan Ketua Audit Negara 2017 yang dikeluarkan pada Disember 2018.

“Selain itu, rakyat juga perlu tahu belanjawan untuk tahun 2018 dan 2019 juga merosot. Untuk tahun 2018 belanjawannya lebih kurang RM3 bilon lebih tapi tahun 2019 ini hanya RM2 bilion lebih.

“Di sini sudah menunjukkan penurunan belanjawan. Dari segi mengurus kerajaan negeri pun dilihat walaupun sudah memasuki penggal ketiga tapi ia semakin lemah. Perlaksaan projek daripada 300 lebih projek yang mereka laksanakan, dilaporkan lebih kurang 11 peratus sahaja yang baru siap, 50 peratus belum dilaksanakan langsung dan selebihnya dalam pelaksanaan,” ujar beliau dalam satu temuramah ekslusif bersama UMNO-Online.

Tambah beliau yang juga Adun Sungai Air Tawar, walaupun PH baru mengambil alih pucuk pimpinan negara tetapi mereka sudah memasuki tahun ketiga mentadbir negeri Selangor.

Justeru, seharusnya kerajaan negeri menunjukkan prestasi yang baik dan bukannya terus menjunam.

“Ini belum termasuk dari segi pengurusan air Selangor. Sudahlah pembelian Syarikat Pengeluar Air Selangor (SPLASH) dibeli 90 peratus lebih tinggi dari harga asal, sepatutnya dengan pembelian ini konsesi air di bawah kerajaan negeri maka rakyat akan mendapat air percuma dan kualiti air yang baik tapi banyak rungutan yang diterima berkaitan hal ini.

“Maka, ini adalah antara perkara yang rakyat Selangor harus melihatnya,” jelas beliau lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.