Asyik Mereka Mahu Tipu Kita, Kali Ini Kita Pula Tipu Dengan Undi BN – Tok Mat

SEMENYIH, 25 Feb – Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hasan mengajak rakyat khususnya pengundi di kawasan Semenyih agar ‘menipu’ kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan 2 Mac nanti.

Ini kerana katanya, mereka (PH) asyik mahu menipu rakyat dan pada kali ini apa salahnya kerajaan pula yang akan ditipu oleh pengundi DUN Semenyih dengan mengundi calon Barisan Nasional(BN) Zakaria Hanafi.

“Kerajaan sekarang ini asyik nak menipu kita sahaja. Daripada manifesto sampai sekarang yang dia nak buat dia nak tipu kita. Saya harap rakyat Malaysia terutama di Semenyih ini termasuklah di peti undi Sungai Jai buka mata. Jangan asyik kita kena tipu sahaja. Kali ini kita tipu pulak mereka, kita pangkah BN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sungai Jai. Terdahulu sebelum itu beliau turut mengadakan kunjungan rumah ke rumah bersama jentera setempat yang lain.

Mohamad seterusnya melihat kerajaan yang ada hari ini tidak tahu untuk melakukan sesuatu yang terbaik kepada rakyat sebaliknya hanya tahu menyalahkan kerajaan sebelum ini semata-mata.

“Apa yang dia tahu berkempen sekarang memburukkan BN.  Dah jadi kerajaan kerjalah… takkan nak ambil yang sedap sahaja. Semua yang lain tak nak buat. Cuba tanya apa dasar ekonomi mereka… cuba tanya apa dasar pelajaran yang mereka nak bentangkan… apa dasar luar bandar… tidak ada…,” tambahnya lagi.

Serentak itu beliau yang Timbalan Pengerusi BN menggesa agar pengundi menjadikan Semenyih sebagai referendum rakyat untuk seluruh negara.

“Pastikan supaya mereka tidak lagi memandang enteng kepada kita… kalau kerajaan terlampau kuat inilah contohnya… inilah caranya mereka akan mengambil mudah segalanya kerana terlampau kuat dan tidak ada suara yang boleh membawa suara rakyat dalam negara atau DUN.

“Harap semenyih ini akan jadi terjemahan rakyat terutamanya di kawasan ini, Selangor dan negara kita. Kita nak beritahu PH yang tidak boleh dipercayai dan kita memastikan kita mendesak mereka,” ujarnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.