Usaha Terdesak Pihak Tertentu Gagal, Kerjasama BN Dan Pas Terus Utuh Di Semenyih – Ismail


SEMENYIH, 24 Feb – Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob percaya tindakan pihak-pihak tertentu yang cuba merenggangkan hubungan dan kerjasama yang cukup erat antara UMNO dan Pas terutama pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan negeri (DUN) Semenyih tidak akan membuahkan hasil.

Menurut beliau terkini mengenai apa yang ditularkan menerusi media sosial mengenai kerjasama antara kedua-dua parti berkenaan dalam usaha membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) Zakaria Hanafi pada PRK tersebut adalah tidak benar sama sekali.

“Yang ditular mengatakan kita ada mesyuarat itu tidak betul. Dari segi mesyuarat MT (Majlis Tertinggi) dan pengurusan tidak ada. Itu adalah cerita bohong. Hubungan kita dengan Pas sangat baik dan di PRK ini.  Malah jentera  Pas pun ada bersama dengan kita pada ‘walkabout’ petang ini. Jentera Pas daripada Gombak yang turut bersama kita beramah mesra dengan peniaga serta pengunjung pasar malam.

“Jadi apa pun yang ditularkan di media dan sebagainya itu tidak menggambarkan hubungan antara kita dengan Pas. Saya percaya apa yang dikeluarkan setiap hari adalah untuk menunjukkan rasa sangsi antara satu dengan lain dengan tujuan untuk memecahbelahkan kita.

“Saya percaya orang UMNO dan penyokong serta jentera Pas faham itu semuanya fitnah. Begitu juga dengan pengundi di sini,” katanya kepada UMNO-Online, di sini petang semalam.

Terdahulu sebelum itu beliau bersama jentera parti yang lain termasuklah Pas daripada Gombak mengiringi calon BN, Zakaria Hanafi beramah mesra dengan peniaga serta pengunjung malam di Pekan Semenyih.

Turut serta Khairy Jamaluddin yang merupakan Ahli Parlimen Rembau, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Abdul Rahman Dahlan, Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan serta jentera setempat lain.

Ismail  sekali  lagi menegaskan untuk PRK DUN Semenyih kedua-dua parti mempunyai jawatankuasa bersama dalam usaha menggerak serta melicinkan perjalanan kempen.

“Kita ada jawatankuasa bersama yang dipengerusikan bersama antara saya dengan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyudin Hasan. Ini cukup jelas. Sekali ditegaskan juga tidak timbul isu sepertimana yang ditularkan. Kita yakin tidak ada siapa yang boleh pecahkan hubungan antara UMNO dengan Pas,” ujarnya. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.