Pemuda UMNO dan PAS Sepakat Desak Peguam Negara Segera Ambil Tindakan Individu Hina Nabi Muhammad SAW


KUALA LUMPUR, 24 Feb – Pemuda UMNO dan Dewan Pemuda PAS sepakat mendesak pihak Peguam Negara agar segera mendakwa Foo Sing Wei yang telah dibebaskan atas jaminan polis setelah ditahan kerana memuat naik status menghina Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW.

Menurut kenyataan bersama yang diwakili kedua-dua Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi, perbuatan individu tersebut bukan sahaja telah mengguris perasaan bahkan menyemarakkan kemarahan umat Islam di Malaysia.

“Malah perbuatan tersebut jelas boleh disabitkan sebagai kesalahan jenayah di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara mandatori hingga 5 tahun.

“Sesungguhnya penghinaan yang dilakukan terhadap Junjungan Mulia SAW adalah suatu yang amat serius dan tidak boleh dimaafkan begitu sahaja,” ujar mereka dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Kedua-dua sayap parti UMNO dan PAS itu juga meminta agar pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM memaklumkan status terkini siasatan kepada rakyat terutama umat Islam yang amat marah dan beremosi dengan isu ini.

Justeru, mereka sekali lagi dengan tegas senada mendesak agar pihak Peguam Negara menyegerakan pertuduhan terhadap pelaku di mahkamah dan didakwa di bawah Kanun Keseksaan serta tidak teragak-agak akan mengadakan himpunan aman sekiranya wujud sikap pilih kasih dari pihak kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Ini bagi memberikan isyarat tegas bahawa sebarang penghinaan bukan sahaja kepada Islam bahkan kepada mana-mana agama sekalipun adalah suatu yang tidak boleh dikompromikan dan perlu dihukum dengan hukuman yang paling keras agar perbuatan jenayah seperti ini tidak berulang.

“Pemuda UMNO dan Pemuda PAS tidak akan teragak-agak untuk kembali menggerakkan rakyat berhimpun secara aman di Kuala Lumpur dan seluruh Malaysia bagi menzahirkan ketidakpuasan hati sekiranya wujud sikap pilih kasih dan tindakan sambil lewa terhadap penjenayah yang menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW,” tegas mereka. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.