Kerana Fitnah, Parti 61 Tahun Berjasa Ditolak – Nazri


SEMENYIH, 24 Feb – Setiausaha Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, rakyat menolak parti yang telah 61 tahun berjasa hanya kerana terpengaruh dengan fitnah.

Jelas beliau, setelah pucuk pimpinan bertukar, kini rakyat mula sedar mereka telah melakukan kesilapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

“Kita selalu laungkan hidup BN hidup rakyat tapi rakyat tidak endahpun dengan laungan peperangan kita hanya kerana mereka marah dan percaya kepada fitnah yang dilemparkan pihak lawan.

“Buat pertama kalinya mereka terus menolak kita iaitu sebuah parti yang telah banyak bantu rakyat khususnya orang Melayu. 61 tahun dicampak begitu sahaja percaya kepada fitnah.

“Hari ini, rakyat di bawah Pakatan Harapan (PH) tidak diberi harapan. Harapan itu hanya kepada parti mereka untuk menang PRU-14… harapan itu bukan untuk rakyat,” ujar beliau ketika berucap di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Beranang ketika berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih.

Tambah beliau, sejak PH memerintah, rakyat dilihat semakin menderita.

“Segala janji manifesto tidak ditunai. Ada yang kata manifesto bukan kitab suci. Mana boleh banding sebegitu…sama macam tak boleh banding kita dengan Tuhan.

“Kalau itulah jawapan yang diberi, maknanya dari awal mereka tidak berhajat nak tunaikan janji. Dari awal mereka sudah menipu.

“Dengan rakyat tak boleh macam tu. Rakyat menaruh harapan kepada pemimpin dan kerajaan. Rakyat menaruh harapan kepada mereka yang difikirkan boleh selesai masalah rakyat. Tapi sayangnya orang itu cakap manifesto bukan Quran. Boleh ke terima alasan ini?,” bidas beliau. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.