Calon Muda Dipertaruhkan? PH Tak Pedulipun Suara Rakyat… Buat Apa Pilih – Pengundi


SEMENYIH, 24 Feb – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih menyaksikan pertembungan empat penjuru namun sudah pasti yang menjadi tumpuan adalah calon daripada Barisan Nasional (BN) Zakaria Hanafi, 58 dan juga calon Pakatan Harapan (PH) Muhammad Aiman Zainali, 30.

Ada dakwaan yang mengatakan pengundi di Semenyih lebih memilih calon PH atas faktor usia yang dianggap mampu membawa pembaharuan dalam politik tempatan dan bukti kepada peranan anak muda yang semakin diberi perhatian.

Bagi mendapatkan jawapan, UMNO-Online telah melakukan tinjauan di mana hasilnya rata-rata pengundi tidak memandang usia kerana mereka mahukan seseorang yang berpengalaman bagi membawa suara rakyat.

Ditambah pula dengan rekod PH sejak menjadi kerajaan sembilan bulan lalu, maka calon BN lebih menjadi pilihan pengundi.

Salamah Ujang, 78, berpandangan, calon yang matang lebih diyakini berbanding calon muda.

“Elok calon yang matang lagi pun ‘pakatan’ ni tak ada harapan… tak ‘reti’ makcik nak sebut… malulah… bukan pakat pun.”

Ketika ditanya apakah bentuk bantuan yang diterima dari kerajaan baru jelasnya, “apa yang dia bantu? Tak ada apa… bantu BR1M turun adalah,” katanya.

Bagi Mohd Haziq Razak, 31, muda tidak semestinya boleh membawa masalah tempatan ke pihak atasan.

Baginya, walaupun PH telah meletakkam calon muda tetapi calon BN lebih dilihat mampu untuk bawa suara rakyat.

“Serik dengan kerajaan sekarang yang hanya pandai tabur janji tapi tidak ditunaikan. Bila lihat kerajaan dulu, janji mereka ditepati dan sentiasa menjuarai dalam membela nasib rakyat,” jelasnya.

Seorang lagi pengundi yang ditemui, Zairin Izma Razak, 35, berkata, pengalaman adalah penting sekiranya mahu menjadi pemimpin kerana mereka yang berpengalaman mempunyai sistem dalam menguruskan sesuatu perkara.

“Jika mahu mengetahui seseorang calon itu bagus atau tidak, lihat keluarganya. Calon BN anak-anak terdidik dengan bagus. Jika dia mampu menjadi ketua keluarga yang baik sudah pasti dia mampu menjadi pemimpin yang baik.

“Berbanding dengan calon PH, latar belakang pendidikan pun tipu jadi dari situ sudah boleh menilai,” katanya.

Supian Mohd, 44, juga berpandangan bahawa calon yang matang lebih diyakini untuk membawa suara rakyat.

“Saya pilih calon yang matang… lagi pun bagi saya, kepimpinan dulu lebih baik. Yang baru ni masih tidak nampak kepimpinannya,” katanya lagi.

PRK DUN Semenyih akan diadakan pada 2 Mac depan selepas penyandangnya Bakhtiar Mohd Nor, bapa mertua kepada calon PH meninggal dunia pada awal Januari lalu. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.