‘YB’ Cameron Highlands Turun Padang Bantu Zakaria Di Semenyih

SEMENYIH, 23 Feb – Calon Barisan Nasional (BN) yang baru memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands pada Januari lepas, Ramli Mohd Noor turut turun padang dalam usaha membantu kempen calon BN bagi PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang akan diadakan pada 2 Mac depan.

Dalam ‘walkabout’nya di sekitar Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sungai Lalang, semalam, beliau yang mengiringi calon BN PRK DUN Semenyih, Zakari Hanafi sempat memberikan kata-kata semangat serta perangsang kepada Zakaria untuk berusaha sebaik dan seramai mungkin bertemu dengan pengundi di kawasan berkenaan.

Bersama UMNO-Online, Ramli mengingatkan penduduk khususnya kalangan pengundi di DUN berkenaan agar membuat pilihan tepat dengan mengundi BN supaya segala agenda kebajikan untuk mereka dapat dibawa oleh Zakaria kelak.

“PRK di Semenyih ini… saya nampak aura kemenangan di Cameron Highlands mungkin akan dapat dibawa ke sini dan saya rasa pengundi di sini tahu siapa yang yang patut diundi. Pada dasarnya… kita tidak janjikan yang bukan-bukan dan bukan perkara yang kita tidak boleh laksanakan. Itu sahaja dah boleh pengundi untuk buat penilaian.

“Kita lihat Bukti Bukan Sekadar Janji. Dengan adanya pembangkang yang kuat, rakyat dapat utarakan yang terbaik untuk mereka. Dan ianya sebagai satu peringatan kepada parti yang memerintah hari ini rakyat Semenyih tidak setuju dengan pentadbiran yang ada pada hari ini,” katanya.

Beliau seterusnya menambah pengundi Semenyih tahu dan mereka akan membuat pilihan yang betul pada hari pengundian nanti.

Sementara itu calon BN, Zakari Hanafi dalam komen ringkasnya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak dan seluruh jentera parti baik dari kalangan BN mahu pun rakan-rakan komponen lain termasuklah daripada Pas.

“Insya Allah kita akan terus berusaha dan kepada pengundi keluarlah beramai-ramai pada hari membuang undi nanti dan tunjukkan bahawa kuasa rakyat adalah kuasa keramat bagi menentukan kepentingan mereka dan pembangkang yang berwibawa di peringkat negeri,” ujarnya.

Sementara itu, Naib Ketua Bahagian UMNO Temerloh, Datuk Muhamad Anuar Md Yunos berkata inilah masa untuk memilih mereka yang akan berperanan sebagai ‘check and balance’.

“Ketika BN memerintah dahulu merekalah yang mewarkan-mewarkan perlu ada ‘check and balance’, kena ada pembangkang yang boleh menegur dan sebagainya.

Jadi sekarang ini kena ada ‘check and balance’ yang boleh menegur di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) dan juga untuk kepentingan penduduk Semenyih itu sendiri. Apa janji-janji yang ditawarkan dahulu ke mana…rakyat dah mula sedar dan kita tengok mereka sangat kelam kabut.

“Kita lihat ramai pengundi yang dulunya menyokong mereka hari ini telah sedar  dan  telah mula kembali kepada BN,” ujarnya. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.