“Orang Beri Kain Ambil, Beri Gula Kacau Buat Teh, Tetapi Undi Tetap BN” – Pesan Annuar Musa

SEMENYIH, 23 Feb – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menggesa para pengundi agar tidak takut malah tidak ragu-ragu untuk membuat pilihan dengan mengundi calon Barisan Nasional (BN) Zakaria Hanafi pada hari pembuangan undi 2 Mac depan.

Menurut beliau tanggungjawab berkenaan cukup penting dalam mencorakkan masa depan bersama dan atas dasar itulah urusan politik bukan urusan yang boleh dibuat main-main kerana urusan berkenaan adalah urusan yang serius  dan merupakan perkara yang mesti diambil berat.

“2 Mac nanti  adalah hari besar. Jangan tunduk kepada tekanan… jangan tunduk kepada ugutan… percayalah  undi satu itu adalah hak  kita yang paling keramat… baru dua tiga hari ini sibuk untuk membaiki rumah. Dah 10 bulan berlalu dan PRK Semenyih baru terhegeh-hegeh datang untuk membaiki rumah. Baru sekarang nak umum Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)  yang bertukar kepada BSH, RM100 kepada orang muda.

“Ini semua petanda-petanda mereka semua sedang panik dan mereka sedang takut… nak bagi itu dan ini. Mudah tuan-tuan dan puan-puan. Bagi kain ambil, bagi duit ambil, bagi gula buat  teh kacau  tetapi bila pangkah tetap mengundi BN,” katanya ketika berceramah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sg Lalang, di sini, malam tadi.

Tambah Annuar itu sahaja ubat  yang paling mustajab bagi memberi signal kepada kerajaan yang ada pada hari ini.

“Bukannya kita benci kepada mereka, bukannya kita marah kepada mereka,  bukan kita ada masalah peribadi terhadap mereka tetapi kita mahu memberi kesedaran kepada kerajaan.  Gaji mahal tidak mengapa… jangan berbohong… jangan menipu… tolong buat kerja… kamu dah menang dan tunaikanlah janji. Kita yang naikkan mereka dan ayuh  kitalah yang turunkan mereka,” tambahnya. – Media UMNO