PRK Semenyih: Undi PH Hanya ‘Tonik’ Gemukkan Dap – Annuar Musa


SEMENYIH, 22 Feb – Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata, pengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih harus sedar bahawa setiap undi yang diberikan kepada Pakatan Harapan (PH) adalah merupakan ‘tonik’ bagi menggemukkan Dap.

Justeru jelas beliau, pengundi harus berfikir dengan bijak sebelum membuang undi pada 2 Mac nanti.

“Saya merayu kepada pengundi muda yang baru berjinak-jinak dengan PH… yang baru mencuba-cuba membiasakan tangan mengundi PPBM, sedarlah bahawa apa sahaja sokongan kepada parti tersebut ia adalah ‘tonik’ menggemukkan Dap.

“Setiap undi yang dipangkah atas nama PPBM ianya akan pergi kepada Dap. Sebab itu kita harus memilih calon yang betul kerana kita sudah lihat apa terjadi kepada bangsa Melayu apabila PH memerintah,” ujar beliau ketika berceramah di PDM Sesapan Batu Minangkabau, malam tadi.

Tambah Annuar, rakyat harus mentalkinkan PH bukan kerana benci, marah atau masalah peribadi tetapi kerana mereka telah menyimpang dari apa tujuan orang Melayu dan Islam berpolitik.

Selain itu kata beliau, kemenangan Barisan Nasional (BN) di Semenyih ini penting kerana ia mampu menggegarkan politik negara.

“Kemenangan BN memang tidak akan bawa perubahan kerana kerajaan negeri masih mereka… kerajaan pusat juga masih mereka tapi ia mampu menggegarkan negara.

“Sebab itu PH gentar… sebab itu Tun Dr Mahathir mereka-reka cerita kononnya PAS tidak mahu bantu UMNO di sini tapi yakinlah PAS dan UMNO tidak akan berganjak demi kepentingan agama, bangsa dan negara,” ujar beliau lagi. – MediaUMNO

**********

Jom ikuti aktiviti-aktiviti calon Barisan Nasional Pilihan Raya Kecil N.24 Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Zakaria Hanafi di www.facebook.com/ZH4N24 dan www.instagram.com/zakariahanafi_n24/

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.