Zakaria Mudah Mesra, Ada Karakter Diangkat ‘Yang Berkhidmat’ Di Semenyih

SEMENYIH, 21 Feb – Pemilihan calon Barisan Nasional (BN), Zakaria Hanafi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih disifatkan amat tepat dengan karakter serta sikapnya yang mudah mesra dengan penduduk setempat.

Zakaria mudah disapa walaupun bertemu buat kali pertama membolehkan masyarakat setempat tidak malu untuk bertegur malah kunjungannya ke kedai kopi serta warung-warung di sini memperlihatkan beliau seolah-olah telah lama dikenali oleh penduduk setempat.

Hakikat tersebut diakui oleh seorang penduduk di Kampung Sungai Machang, Jalan Sungai Lalang, Ismail Arifin, 72, yang melihat calon berkenaan ada karakter tersendiri dan amat sesuai untuk diangkat menjadi ‘Yang Berkhidmat’.

Beliau yang ditemui ketika minum petang di sebuah warung kopi di Jalan Sungai Lalang seterusnya menambah, dalam suasana dan keadaan semasa hari ini, calon berkenaan dianggap mampu untuk melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat DUN Semenyih.

“Saya setuju dengan  calon tersebut dan karakter yang ada pada Zakaria menyenangkan. Dalam keadaan sekarang ini teruk… jadi kena ambillah calon BN, Zakaria ini. Masalah Pakatan Harapan (PH) ini banyak, jadi orang tidak sanggup untuk terima. Orang Semenyih perlu pilih Zakaria… lagipun dia daripada parti lama dan dah 60 tahun ada pengalaman. Yang sebelah sana… ini baru sekali jumpa… boleh tengok peramah jugalah… baguslah. Jangan pula esok kalau ada rezeki jadi YB lain pula,” katanya.

Sementara itu, seorang pesara Kamarudin Zainudin, 64, daripada Kampung Batu 13, Jalan Sungai Lalang yang secara kebetulan turut berada di warung berkenaan ketika calon BN, Zakaria melakukan walkabaout turut sependapat bahawa sikap peramahnya amat menyenangkan.

“Untuk pilih wakil rakyat kena pilih yang baik untuk berkhidmat. Pertama kali jumpa tadi nampak macam mudah mesra dan perwatakannya pun nampak baik dan disenangi rasanya. Tidak malu alah untuk kita tegur dan beliau pun mudah mesra. Tidak tahulah orang lain pula macam mana pandangan mereka.

“Pada saya begitulah. Kena buat pilihan terbaik pada hari mengundi nanti. Dulu parti yang diwakilinya kapal layar dan sekarang ‘dacing’,” tambahnya.- MediaUMNO

**********

Jom ikuti aktiviti-aktiviti calon Barisan Nasional Pilihan Raya Kecil N.24 Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Zakaria Hanafi di www.facebook.com/ZH4N24 dan www.instagram.com/zakariahanafi_n24/

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.