Repot Polis Palsu, Syed Saddiq Juga Harus Disiasat – Asyraf Wajdi


KUALA LUMPUR, 21 Feb – Pemuda UMNO mendesak agar Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman harus disiasat di bahawa Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan polis palsu yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda RM2,000 atau/dan penjara enam bulan.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata demikian sebagai maklum balas selepas Exconya, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau nama popularnya Papagomo telah dibebaskan dengan jaminan polis berhubung insiden di Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih baru-baru ini.

“Ternyata sandiwara Syed Saddiq tidak menjadi kerana banyak rakaman video dan laporan polis balas oleh beberapa saksi yang menafikan berlaku serangan ‘cekak leher’ sebagaimana yang didakwa dalam laporan polis palsu Syed Saddiq,” katanya dalam catatan dalam Facebooknya.

Katanya, Papagomo telah dibebaskan dengan jaminan polis semalam setelah polis sahkan hanya salah faham dan bukannya serangan ‘mencekak leher’ sebagaimana dakwaan Syed Saddiq.

“Apa-apa pun kagum saya dengan semangat juang yang kental sahabat saya Papagomo yang tetap bersemangat walaupun dianiayai Syed Saddiq hingga terpaksa merengkok dalam lokap polis di IPK Kajang selama tiga malam.

“Ketika menelefon saya sejurus keluar lokap petang tadi Papagomo berkata pada saya, ‘Bos, walaupun dalam lokap saya jaga solat lima waktu sebagaimana nasihat Bos untuk menjadi pejuang agama sejati’.

“Syukur, Alhamdulillah. Moga hidayah dan rahmat sentiasa melindungimu Wan Azri,” katanya dengan meletakkan tanda pagar #SandiwaraSyedSaddiq, #PemudaTerasKebangkitan dan #Semenyih4BN.

Sebelum itu, Papagomo ditahan di rumahnya di Danau Kota sekitar jam 3 petang Ahad oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, untuk siasatan lanjut berhubung dakwaan Syed Saddiq.

Siasatan oleh Polis Daerah Kajang dijalankan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan atas kesalahan menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan tugas selepas anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Kajang mendakwa dikasari dan dipukul dari arah belakang.

Siasatan turut dibuat mengikut Seksyen 147/323 Kanun Keseksaan atas kesalahan sengaja mendatangkan kecederaan dan merusuh, selepas Syed Saddiq mendakwa diserang sekumpulan penyokong parti politik.

Dalam hal tersebut, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim mengesahkan bahawa insiden melibatkan Syed Saddiq dan Papagomo lebih kepada salah faham dan bukannya serangan. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.