Penyatuan UMNO-PAS Bukan Rasis


PARIT 21 Feb. – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menegaskan penyatuan UMNO dan Pas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih bukanlah bersifat rasis totok.

Beliau berkata, sebaliknya, kedua-dua parti itu memahami bahawa negara ini terdiri daripada rakyat berbilang kaum, justeru tidak sesekali akan meminggirkan kaum bukan Melayu.

“Saya boleh tegaskan kepada masyarakat Cina dan India, walaupun nampak ada gabungan UMNO dengan Pas, tetapi jangan bimbang, kita faham negara ini berbilang kaum.

“Tidak sesekali apabila kita bergabung, orang Cina dan India hendak ditinggalkan, tidak ada. DAP fikir benda lain tetapi UMNO dan Pas tidak fikir seperti itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan serentak Persidangan UMNO Cawangan, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Parit 2019 di Dewan Dato’ Ahamed Gambal, Bota Kanan di sini hari ini.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Parit, Datuk Mohd. Nizar Zakaria dan Ketua Pemudanya, Khairul Shahril Mohamed serta julung kalinya dihadiri oleh Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Muhammad Ismi Mat Taib merangkap Yang Dipertua Pas Kawasan Parit. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.