BN Terus Berkempen Dekati Pengundi, Abai Kempen Negatif – Shahril Sufian

SEMENYIH,  20 Feb – Timbalan Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Shahril Sufian Hamdan berkata pergerakan itu akan terus berkempen mengikut cara mereka dan tidak akan terikut-ikut dengan tindak-tanduk pihak tertentu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang hari pengundiannya akan diadakan pada 2 Mac depan.

Menurut beliau apa yang penting ialah sentuhan kepada pengundi akan diteruskan dan ditingkatkan dari semasa ke semasa termasuklah gerak kerja bersama dengan PAS dalam usaha membantu kemenangan calon BN, Zakaria Hanafi kelak biarpun dikatakan ada tindakan provokasi pemasangan kain rentang menyalahi undang-undang pilihan raya.

“Jika benar kain rentang dan ‘flyers’ seperti yang diperkatakan dan dipasang di beberapa kawasan, ini menunjukkan sekali lagi Pakatan Harapan (PH) bercakap tidak serupa bikin sebab mereka sebelum ini kononnya mendokong ‘rule of law’.

“Kalau seseorang itu belum disabitkan kesalahan mana mungkin kita panggil perompak. Saya nampak ini lebih kepada cemburulah… bukan hanya ‘bossku’ tetapi juga gelombang BN keseluruhannya yang semakin lama semakin kuat.

“PH seolah-olah tidak nampak sinar walaupun baru 10 bulan ambil alih kerajaan. Sepatutnya ‘honeymoon period’ ada lagi tetapi kerana kegagalan demi kegagalan itulah sebabnya dia orang tidak nampak cahaya itu dan menyerang perkara-perkara sedemikian rupa. Jadi biarlah mereka buat cara itu dan kami akan terus berkempen cara kami dan insya-Allah kemenangan akan berpihak kepada BN,” katanya di sini, hari ini.

Semalam tular berkaitan kain rentang yang memaparkan ‘Kita bukan pencuri, kita bukan pembohong, kita bukan perompak’ yang dipasang sempena kempen PRK DUN Semenyih.

Terdahulu sebelum itu beliau mengadakan walkabout sekitar Kantan Permai dan Taman Desa Sri Jenaris bersama jentera di samping mengedarkan ‘flyers’ BN dan mengunjungi pengundi serta usahawan muda sekitar kawasan berkenaan.

Shahril Sufian seterusnya percaya gerak kerja bersama rakan sekutu PAS akan terus dipertingkatkan dan dalam masa terdekat akan ada program besar antara kedua-dua sayap Pemuda parti berkenaan.

“Momentum kita makin baik dan maklum balas yang kita terima cukup positif sepanjang walkabout tadi. Insya-Allah kita akan lipatgandakan lagi usaha kita,” tambahnya lagi. – MediaUMNO

**********

Jom ikuti aktiviti-aktiviti calon Barisan Nasional Pilihan Raya Kecil N.24 Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Zakaria Hanafi di www.facebook.com/ZH4N24 dan www.instagram.com/zakariahanafi_n24/