TRX Tidak Gagal… SPV Yang Merugikan Tabung Haji Dan Pendeposit – Jamil Khir


KUALA LUMPUR, 19 Feb – Tuduhan yang dilemparkan dahulu bahawa Tabung Haji (TH) membuat kesilapan membeli sebidang tanah di Tun Razak Exchange (TRX) terbukti salah apabila baru-baru ini Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sendiri mengakui kawasan tersebut mampu menjadi satu ruang pelaburan yang cukup besar, ujar Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Bahkan katanya, sehingga ada dakwaan bahawa TH membeli tanah di TRX sebagai ‘bail out’, iaitu satu cubaan untuk menyelamatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sedangkan hakikatnya kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika itu melihat TH perlu menempatkan diri sebagai salah satu ‘pemain’ di lokasi perniagaan yang bakal terunggul dalam negara tambahan pula dengan wujudnya bangunan tertinggi di Asia Tenggara.

“Tetapi sebenarnya (ketika itu) melihat dalam kerangka politik yang tiada keterbukaan sebaik-baiknya sebab kalau lihat dua tiga hari sebagaimana yang dipaparkan, Menteri Kewangan melihat ini sebagai satu ruang pelaburan dan pembangunan yang bernilai besar, hub kewangan antarabangsa.

“Kalau kita lihat TRX ini adalah satu daerah kewangan yang bersifat antarabangsa yang belum ada di Malaysia, dan juga bakal menawarkan lima ratus ribu peluang pekerjaan, bukan setakat itu sahaja, daripadanya 40 ribu ialah pekerjaan bertaraf gaji tinggi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam Diskusi N24 Semenyih dengan topik perbincangan ‘Isu Tabung Haji: Apa Sudah Jadi?’ di sini, malam tadi yang disiarkan secara ‘live’ di Facebook UMNO-Online, dihoskan oleh Adnan Seman, seorang pengamal undang-undang.

Jelas Jamil Khir, kemelut berhubung pembelian tanah di TRX telah pun dijelaskannya ketika sidang Parlimen pada 2017 ketika beliau menjawat jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang turut bertanggungjawab menjaga kepentingan TH.

“Saya mengimbau kembali jawapan saya dalam Parlimen tahun 2017, boleh semak dalam ‘hansard’ ketika penggulungan pada waktu malam, dengan kapasiti sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap TH.

“Dalam jawapan saya memberi bayangan yang pada ketika itu TRX hanya sebuah padang kosong, apa yang diberikan taklimat kepada rakan-rakan kabinet, ini (TRX) merupakan satu pertumbuhan yang cukup hebat, daerah kewangan antarabangsa yang menyediakan peluang pekerjaan yang begitu besar, menjadi tumpuan dari serata dunia dan disambung pula dengan keretapi laju dari Singapura (HSR), 90 minit ke Bandar Malaysia dan seterusnya membawa limpahan ekonomi yang cukup berkembang.

“Ini satu pertumbuhan ekonomi yang cukup besar dan kerana itu TH mengambil peluang untuk menjadi salah seorang ‘pemain’ di dalam daerah yang baharu yang menjadi mercu tanda ini,” katanya.

Justeru, Jamil Khir melihat pada ketika itu TH sewajarnya amat berbangga kerana mereka merupakan salah satu ‘pemain’ di kawasan tersebut dan sepatutnya juga sembilan juta umat Islam sebagai pendeposit TH turut merasakan satu kehebatan kerana mereka turut mempunyai ‘share’ dalam pembangunan kawasan tersebut.

Berhubung dengan tuduhan TH membeli dengan harga yang mahal pada ketika itu, jelasnya lagi, ia bersesuaian dengan segala pembangunan infrastuktur yang wajib dibuat oleh TRX termasuklah terowong di bawah tanah yang menelan belanja berbilion ringgit dan bukan pembelian tanah semata-mata.

Tambah Jamil Khir, jawapannya juga mendapat sokongan yang padu daripada rakan-rakan ahli Dewan Rakyat terutama yang Melayu baik dari pihak kerajaan mahupun pembangkang yang dilihat semacam satu konsensus tidak mahu tanah tersebut dijual.

“Sebab pada ketika itu, ada desakan supaya tanah tersebut dijual kononnya untuk mengambil kembali duit (TH) yang dikatakan hampir hilang.

“Tetapi, Alhamdulillah, terbukti baru-baru ini MoF (kementerian kewangan) mengatakan tanah ini berdaya maju, RM40 bilion pembangunan yang ada ini adalah merupakan satu peluang untuk membangunkan daerah kewangan antarabangsa ini,” ujarnya.

Untuk rekod, TH membeli sebidang tanah di TRX pada 2015 dengan harga RM188.5 juta dan menjadi pertikaian pemimpin pembangkang kerana membeli tanah dari 1MDB, kononnya dituduh menyelamatkan mahu membayar hutang 1MDB.

Sejak mengambil tampuk pemerintahan negara, kerajaan Pakatan Harapan menubuhkan syarikat tujuan khas (SPV) di bawah kementerian kewangan untuk membeli kembali tanah tersebut pada harga asal walaupun nilai tanah tersebut telahpun meningkat kepada RM205 juta (April 2018) selari dengan kemajuan projek TRX.

Menjadi persoalan rakyat, siapakah kini yang untung di atas penubuhan SPV tersebut. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.