Kerjasama UMNO-PAS Melangkau PRK, Fokus Kegagalan Kerajaan Kakistokrasi PH


KUALA LUMPUR, 19 Feb – Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan bahawa kerjasama UMNO-PAS menjangkaui Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih yang sedang berlangsung sekarang ini kerana banyak perkara yang masih boleh diperbaiki, diteruskan dan diolah demi kepentingan kedua-dua parti dalam menawarkan alternatif kepada Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, tunjang utama kerjasama ini adalah daripada keikhlasan nurani, kesatuan niat dan amal semua pihak demi menjaga dan memakmurkan kepentingan bersama Melayu-Muslim yang dilihat kian tidak menentu dalam pemerintahan PH.

“Bagi PRK Semenyih pula, UMNO bersedia untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak yang berkongsi matlamat dan perjuangan yang sama. Kita berharap sokongan semua orang, Melayu dan bukan Melayu, PAS dan bukan PAS, pelbagai pertubuhan dan individu.

“Hakikatnya, pilihan raya ini bukanlah berkisar tentang kerjasama UMNO-PAS semata-mata. Fokus utama adalah kegagalan kerajaan kakistokrasi PH dalam melaksanakan janji, merendahkan kos sara hidup, harga barangan harian, serta hal-hal asas ekonomi yang lain. Semua isu-isu ini amat dirasai oleh rakyat di Semenyih dan seluruh negara ketika ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Katanya, kerjasama UMNO-PAS adalah kerjasama dan persefahaman politik yang masih baru.

“Ia belum lagi menjadi satu kerjasama yang formal dan insya-Allah akan bertumbuh dan mengukuh secara organik sesuai masa. Meskipun dalam peringkat awal, ianya telah membuahkan hasil yang memberangsangkan setakat ini terutama bila ia melibatkan isu-isu strategik Islam dan Melayu.

“UMNO juga sangat memahami halangan-halangan yang timbul untuk menjayakan apa jua kerjasama politik kerana setiap parti ada kekangan masing-masing dan halangan yang wujud adalah normal kepada sebuah perkara yang baru dan jarang berlaku.”

Oleh yang demikian, katanya UMNO dan PAS harus diberi masa untuk mencari pelbagai titik persamaan dan sedikit-demi sedikit mengurangkan perbezaan demi kepentingan umum.

“Kerjasama UMNO dan PAS lebih besar dan strategik nilai dan kepentingannya dari hanya menghadapi sebuah pilihan raya di Semenyih.

“Ia berkisar tentang orang Melayu-Muslim yang merasa mereka semakin marjinal keraa telah ada usaha-usaha yang sistematik mula mengenepikan mereka dari arus pembangunan dan wacana politik negara.

“Identiti, agama dan cara hidup mereka semakin digugat, secara zahir mahupun tersembunyi agar ideologi ‘Malaysian-Malaysia, No Race, No Religion’ direalisasikan.”

Jelasnya, ideologi ini adalah manifestasi jelas kepada ketidakhirauan kerajaan PH dan ahli-ahli politik DAP terhadap budaya dan nilai hidup orang Melayu-Muslim.

“Ia sama sekali mengenepikan karakter Malaysia dan mewujudkan keraguan pada diri orang Melayu terhadap kemampuan kerajaan PH, dalam menjaga nilai, cara hidup dan norma budaya orang Melayu pada abad ke-21.

“Sehingga ini, tiada satu pun pelan konkrit menyentuh peningkatan tahap pendidikan, ekonomi dan sosio-budaya orang Melayu yang diumumkan serta dengan serius diusahakan oleh kerajaan PH.

“Akhirnya, suka untuk diingatkan bahawa sebarang kenyataan daripada mana-mana pimpinan PH seakan tidak boleh diambil serius kerana semenjak sembilan bulan lepas, segala janji dalam menifesto mereka gagal ditunaikan.”

Apatah lagi, katanya, pelbagai insiden yang terjadi menyentuh kredibiliti mereka telah terserlah.

“Kalau kelayakan akademik mereka pun menjadi debat umum, inikan pula kenyataan politik mereka,” katanya sinis. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.