Kerajaan PH! Segera Bertindak Tegas Terhadap Foo Sing Wei – Pemuda UMNO


KUALA LUMPUR, 19 Feb – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mendesak Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) agar segera bertindak terhadap pemilik laman sosial Facebook Foo Sing Wei yang secara biadap menghina Islam dan Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW melalui beberapa status yang dimuatnaik.

Tegas Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Foo Sing Wei yang juga penyokong tegar Pakatan Harapan (PH) nampaknya begitu angkuh walaupun sebelum ini dikritik oleh pelbagai pihak di kalangan warga netizen di laman Facebooknya.

“Rakyat tentunya tertanya-tanya kenapakah di zaman Kerajaan PH yang kononnya peneraju Malaysia Baharu kini, makin menjadi-jadi sikap rasis dan tindakan penghinaan kepada Islam?


“Semacam ada dua piawai yang berbeza digunapakai. Apabila orang Melayu-Islam dituduh rasis begitu pantas sekali tindakan diambil,” bidasnya dalam satu kenyataan media, di sini hari ini.

Tambah Asyraf lagi, sedangkan beberapa kes sebelum ini yang menyaksikan kebiadaban segelintir individu seperti Foo Sin Wei itu begitu lambat tindakan diambil walaupun berpuluh laporan polis dibuat.

“Pemuda UMNO berharap tiada sikap pilih kasih pihak kerajaan terhadap sesiapa jua yang memainkan sentimen perkauman dan penghinaan terhadap mana-mana agama.

“Rakyat hakikatnya merindui zaman kegemilangan Malaysia yang cukup harmonis dalam kepelbagaian agama dan kaum tanpa perlu hanya beretorik dengan label ‘Malaysia Baharu’,” tegasnya lagi sambil melampirkan tanda pagar #TolakKerajaanPHRetorik. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.