BN Desak SPR Lebih Proaktif Pastikan Tiada Kesalahan Akta Pilihan Raya Dilakukan


SEMENYIH, 19 Feb – Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar lebih proaktif bagi memastikan PRK ini berjalan dengan adil dan telus.

Jelas beliau, ini kerana sudah ada laporan yang mengatakan Pakatan Harapan (PH) melanggar Akta Pilihan Raya.

“Saya mendapat laporan di Kuala Pajam di mana PH mengedarkan sayur kepada penduduk kampung. Ini adalah satu kesalahan di bawah Akta Pilihan Raya.

“Kita sudah buat laporan dan suka saya maklumkan untuk membantu BN, disediakan peguam di kalangan UMNO yang akan memantau setiap kejadian di sini.

“Saya harap pemantauan oleh SPR perlu dilakukan bukan setakat waktu kempen tetapi sewaktu hari mengundi termasuk ketika pengiraan undi sebab kita tidak mahu ada unsur-unsur yang menyalahi Akta Pilihan Raya dilakukan,” ujar beliau selepas menyertai program ziarah kasih di Sesapan Kelubi hari ini.

Justeru kata Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden, SPR harus lebih proaktif supaya pilihan raya ini adalah pilihan raya yang adil dan bersih serta tidak ada perkara negatif yang berlaku atau dibiar begitu sahaja oleh SPR.

“Di PRK Cameron Highlands, hari pertama sudah pun berlaku iaitu semasa hari penamaan di mana pembahagian duit minyak dan sebagainya tetapi tidak diambil tindakan apa pun. Saya tidak tahu ada teguran atau tidak oleh SPR dan kali ini berlaku lagi di sini walaupun laporan sudah dibuat.

“Saya yakin sebagai sebuah badan yang bebas, SPR tentu sahaja tidak akan dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Jadi saya harap SPR dapat lakukan tugas dengan baik, jadikan pilihan raya ini sebagai pilihan raya contoh yang bersih dan adil kepada semua pihak,” tambah beliau yang juga Ahli Parlimen Bera. – MediaUMNO

***************************

Jom ikuti aktiviti-aktiviti calon Barisan Nasional Pilihan Raya Kecil N.24 Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Zakaria Hanafi di www.facebook.com/ZH4N24 dan www.instagram.com/zakariahanafi_n24/

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.