Pilihlah BN, Pengundi Di Semenyih Jangan Tertipu Dua Kali – Najib


SEMENYIH, 18 Feb – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan para pengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih agar jangan tertipu lagi buat kali kedua.

Jelas beliau, masyarakat di Semenyih harus menggunakan peluang kedua mengundi ini untuk membetulkan kesilapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

“Sekali kena tipu tak apa… jangan dua kali kena tipu. Sekali kena kencing ok… kalau dua kali kena kencing… hancing… kenapa kata hancing… sebab kena tipu.

“Dulu mereka kata kalau Pakatan Harapan (PH) menang rakyat senang… betul ke senang? Tak betul… Mereka kata kalau PH menang barang turun… turun ke tak turun…? Mereka kata barang turun sebab itu tidak pernah dalam sejarah Malaysia menteri buat sidang media sebab harga telur turun 2 sen, tapi saya pergi tengok harga telur tak turun pun,” ujar beliau ketika berucap di program ramah mesra di perumahan Bandar Tasek Kesuma, malam tadi.

Najib turut memaklumkan bahawa beliau masih ingat semasa di PRK Sungai Kandis, dirinya telah memaklumkan kepada orang ramai, jika PH menang PRK tersebut mereka akan membeli Splash dengan harga 10 kali lebih tinggi dari yang pernah ditawarkan oleh bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

“Bila saya kata mereka akan beli dengan harga RM2.7 bilion, Azmin (Ali) cakap tidak betul tapi selepas dua minggu PRK Sungai Kandis, mereka beli dengan harga RM2.55 bilion. Maknanya apa? Harga air akan naik… jadi, berapa kali nak kena tipu?” sindir Najib lagi.

Najib turut membidas Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang dulunya seringkali mengkritik projek TRX tetapi kini mengakui TRX adalah aset paling bernilai untuk negara.

“Dulu cakap TRX hanya lubang besar… tiga hari lepas pula cakap TRX adalah aset paling bernilai untuk negara… boleh untung RM40 bilion… kalau boleh untung RM40 bilion habislah untung 1MDB.

“…yang rugi sebenarnya Forex sebanyak RM31 bilion ‘cash’… zaman siapa ni…?

“Kalau banding 1MDB dengan Forex mana lagi teruk… kalau betul 1MDB tak betul, ambillah tindakan… tapi jangan tuduh saya pencuri dan perompak,” katanya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.