Mohamad Bersedia Hadapi PRK DUN Rantau


PUTRAJAYA 18 Feb. – Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan kemenangan beliau pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu terbatal dan tidak sah.

Mohamad berkata, beliau menerima dengan hati terbuka keputusan Mahkamah Persekutuan itu.

“Saya menghormati keputusan yang dibuat dan saya sudah lama bersedia untuk PRK diadakan.

“Jadi, saya menerima keputusan rayuan ini dengan hati terbuka. Kita menghormati undang-undang,” katanya ketika ditemui di luar Mahkamah Persekutuan di sini, selepas keputusan kes berkenaan.

Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum hari ini menolak rayuan Mohamad untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban pada 16 November tahun lalu yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi DUN Rantau sebagai terbatal dan tidak sah.

Keputusan itu sekali gus membuka laluan kepada PRK bagi DUN Rantau untuk diadakan.

Naib Ketua PKR Cabang Rembau, Dr. S. Streram memfailkan petisyen pada 23 Mei tahun lalu untuk membatalkan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengisytiharkan Mohamad sebagai pemenang kerusi DUN Rantau pada PRU-14, 9 Mei lalu.

Ditanya sama ada beliau sudah menjangka keputusan Mahkamah Persekutuan yang tidak memihak kepadanya, Mohamad berkata, beliau tidak dapat menjangkanya.

“Pihak peguam mewakili SPR merayu dan pihak saya berhujah dengan baik. Kedua-dua pihak berhujah dan Hakim Mahkamah Persekutuan memutuskan PRK perlu diadakan semula.

“Saya perlu bersedia menunggu keputusan SPR bilakah writ akan dikeluarkan dan bila penamaan calon perlu diadakan. Saya rasa tak lama lagi, insya-Allah,” katanya.

Sementara itu, Dr. Steram gembira dengan keputusan tersebut yang menamatkan pertikaian berhubung kedudukan DUN Rantau dalam PR-14 yang lalu.

“Saya sangat gembira dengan keputusan ini dan beri kita satu semangat. Kita tunggu keputusan SPR dan saya akan bertanding semula di Rantau,” katanya. – UTUSAN ONLINE