Antara Adib Dan Syed Saddiq… Apakah Wujud Kepentingan Politik?


KUALA LUMPUR, 18 Feb – Apakah semua keputusan yang dibuat oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) harus membabitkan kepentingan politik mereka dan mengetepikan kepentingan rakyat?

Demikian persoalan yang dilontarkan Jabatan Komunikasi Strategik (JKS) Penerangan UMNO Malaysia berikutan dua situasi berbeza melibatkan pembelaan nasib malang wirawan bomba, Muhammad Adib berbanding kes Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq yang mendakwa dia diserang.

Katanya, usahkan hendak didakwa di mahkamah, sehingga kini masih belum ada sebarang tangkapan terhadap si pelaku walaupun terdapat 99 orang individu telah ditahan reman berkaitan kes rusuhan tersebut termasuklah empat lelaki yang disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh.

“Masih tiada sebarang petunjuk bahawa si pelaku akan ditangkap dan didakwa di mahkamah. Pembelaan nasib malang wirawan bomba, Muhammad Adib, masih samar-samar dan mengundang seribu satu persoalan.”

Soal JKS dalam satu kenyataan hari ini, adakah wujud campur tangan luar dalam siasatan kes itu?

“Proses siasatan dalam apa jua kes jenayah tidak sepatutnya ada campur tangan mana-mana pihak termasuklah pihak atasan. Nampak jelas kes ini sengaja dilambat-lambatkan.”

Tegasnya, lain pula cerita melibatkan Syed Saddiq mengeluarkan kenyataan “waktu itu (diserang) saya hanya terbayang adakah nasib saya akan jadi seperti bomba arwah Adib”

“Jawapannya tidak. Ini kerana si pelaku yang menyebabkan kematian Adib masih bebas sehingga kini tiada sebarang tangkapan. Kes Menteri tersebut sudah pun berjalan dan susulan insiden itu, Papagomo sudah pun ditahan.

“Apa yang mengecewakan rakyat adalah, tuduhan Menteri tersebut lemparkan adalah fitnah semata-mata kerana tiada unsur keganasan yang berlaku terhadapnya.

“Namun begitu, pihak polis terus menjalankan penangkapan walaupun video yang tersebar jelas menunjukkan tiada sebarang keganasan fizikal dilakukan oleh Papagomo.”

Bidasnya, dua keadaan berbeza di antara Papagomo dengan pihak yang terbabit dengan kematian Adib. – MediaUMNO