Rakyat Boleh Nilai Sendiri Dakwaan Tun Mahathir


SEREMBAN 17 Feb. – Rakyat akan dapat memastikan kebenaran dakwaan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa Pas tidak akan menyokong UMNO dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih sepanjang tempoh dua minggu kempen pilihan raya berkenaan.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, sekiranya para pemimpin dan ahli Pas turun berkempen dengan mengadakan ceramah dan menjelajah kawasan DUN tersebut, ia petunjuk jelas bahawa dakwaan tersebut adalah tidak benar.

“Kita tengok pada pelaksanaan dan tindakan sepanjang tempoh kempen pilihan raya ini sebab sekarang wujud dua dakwaan berbeza.

“Tidak perlu bersusah payah mendapatkan kepastian kerana kita ada dua minggu kempen PRK ini dan kita boleh lihat sendiri jika pemimpin Pas turun membantu kempen,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Masjid Ibnu Khaldun Lavender Heights dekat Senawang di sini hari ini.

Jelasnya, beliau sempat berbual dengan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan yang ditemui semasa proses penamaan calon PRK DUN Semenyih semalam dan telah bertanya mengenai pertemuan antara Pas dan Dr. Mahathir kelmarin.

Katanya, Takiyuddin memberitahunya, isu tidak menyokong UMNO dalam PRK berkenaan tidak disentuh dalam pertemuan itu yang hanya berkisar mengenai hubungan antara negeri di bawah pentadbiran Pas dan kerajaan Persekutuan.

“Kata Takiyuddin kepada saya, hal berkaitan politik tidak disentuh dalam pertemuan itu.

“Apabila saya tanya pendirian Pas, beliau memberitahu saya bahawa Pas akan terus menyokong calon Barisan Nasional seperti yang dilakukan sebelum ini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.