Kerjasama Akar Umbi BN Dan Pas Cukup Baik, Tak Tergugat

SEMENYIH, 17 Feb – Gerak kerja serta kerjasama yang cukup erat antara pimpinan dan jentera parti Barisan Nasional (BN) dengan Pas di peringkat akar umbi dilihat menenggelamkan kontroversi yang timbul berhubung persefahaman kedua-dua parti pembangkang berkenaan dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Perkara tersebut ditekankan oleh Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang hari ini turun padang membantu kempen di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kantan Permai bersama jentera setempat melibatkan pimpinan BN dan Pas.

Ditemui selepas mengadakan walkabout di Pasar Malam Jenaris bersama calon BN, Zakaria Hanafi, beliau menjelaskan apa yang berlaku di akar umbi cukup baik.

“Saya melihat hari ini sehari suntuk, hubungan yang wujud antara UMNO dan Pas di sini sangat baik. Saya tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku tetapi yang penting keikhlasan dan kejujuran kita atas niat bersama untuk apa… umat Islam, bangsa Melayu dan negara kita yang majmuk… ini pegangan kita bersama. Alhamdulillah…. Tentang calon kita, Zakaria Hanafi saya cukup berpuas hati dengan kerjasama yang wujud antara kedua-dua parti tersebut di Semenyih hari ini.

“Saya masuk cawangan dan jumpa Naib Ketua Cawangan Pas tadi serta pimpinan lain termasuk sayap… kerjasama berjalan erat dan apa yang penting berlaku di bawah sana berbanding dengan apa yang digembar-gemburkan di luar,” katanya.

Jelasnya lagi jika beliau berada di tempat Pakatan Harapan (PH) kerjasama serta hubungan yang terjalin antara BN dan Pas pada PRK Semenyih tentunya membimbangkan.

“Kalau saya berada di tempat mereka (PH) memang tidak senang  dan itu dah diterjemahkan dalam konteks di Cameron Highlands baru-baru ini. Apa yang berlaku bukan sahaja gandingan Pas dengan UMNO tetapi banyak kesilapan mereka sendiri.

“Harga minyak sawit masih lagi rendah, harga getah dah merundum dan ekonomi kita masih lagi tidak bermaya, saya tengok kementerian-kementerian semua tidak dapat diselaraskan dan menteri pula cakapnya bercanggah. Itulah yang mungkin orang ramai mahu sampaikan mesej,” ujarnya lagi. – MediaUMNO

Jom ikuti aktiviti-aktiviti calon Barisan Nasional Pilihan Raya Kecil N.24 Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Zakaria Hanafi di www.facebook.com/ZH4N24