Jentera Harus Kerja Kuat… Ini Bukan Kerja Kahwin, Buat Sambil Lewa – Tajuddin


SEMENYIH, 17 Feb – Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mengingatkan para jentera parti untuk bekerja keras bagi memenangkan Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih.

Jelas beliau, ini adalah soal perjuangan yang tidak boleh dibuat secara remeh.

“Semua jentera harus buat yang terbaik sebelum hari mengundi tiba. Kalau rasa tidak boleh bagi komitmen jangan tawar diri untuk bertugas sebab ini bukan kerja kahwin… ini kerja perjuangan yang tidak boleh dibuat main.

“Kena jejak pengundi cepat… tidak boleh tangguh. Kita kena tahu yang mana putih… kelabu… yang mana atas pagar sebab yang kelabu dan atas pagar ini kita kena yakinkan mereka untuk sokong kita.

“Kita kena bergerak cepat dan jika gerak kerja kita betul, insya-Allah kita boleh menang di PRK Semenyih ini,” ujar beliau ketika berucap dalam program sembang santai bersama jentera Wanita di Bukit Mahkota 1, di sini.

Tambah beliau, kemenangan di PRK ini kelak sudah pasti memberikan momentum terbaik untuk parti.

“Kita sudah menang di PRK Cameron Highlands dan jika kita menang pula di Semenyih, saya pasti ia akan menyuntik semangat yang tinggi kepada semua ahli.

“Kita juga harus ingat… ini semua adalah demi masa depan anak cucu kita,” ujarnya lagi.

BN meletakkan calonnya, Zakaria Hanafi, 58, bagi merampas kembali DUN Semenyih menerusi PRK yang dijadualkan berlangsung pada 2 Mac dengan menyaksikan pertandingan empat penjuru.

Zakaria akan ditentang calon Pakatan Harapan (PH) yang diwakili oleh Mohd Aiman Zainali; Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul dan Bebas Khuan Chee Heng.- MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.