Jangan Mudah Terpengaruh ‘Psywar’ Rencatkan Kerjasama UMNO dan Pas

SEMENYIH, 17 Feb – Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Ismail Sabri  Yaakob mengingatkan pengundi dan jentera parti agar tidak mudah terpengaruh dengan sebarang dakyah terutama ‘psywar’ mengenai kerjasama bersama rakan pembangkang Pas.

Apa yang berlaku hari ini menurut beliau sekadar memperlihatkan kegusaran Pakatan Harapan (PH) untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang akan di diadakan pada 2 Mac depan.

“Sebab itu tidak hairan apabila Perdana Menteri membuat pengumuman bagi pihak Pas dan mereka sebenarnya tersepit. Jadi kepada semua saya menyeru kepada seluruh jentera parti serta pengundi jangan terpengaruh strategi ‘psywar’ yang dimainkan oleh PH untuk memecahbelahkan antara UMNO dengan Pas,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Terdahulu sebelum itu beliau meluangkan masa bersama Puteri UMNO pada program Kacau Dodol di PDM Kuala Pajam.

Ismail Sabri seterusnya memberitahu terdapat aduan daripada kalangan penduduk yang mendakwa berlakunya perkara yang menyalahi Akta Pilihan Raya.

“Difahamkan di PDM Kuala Pajam mereka mengedarkan sayur kepada pengundi dan jelas ini merupakan satu tindakan membeli undi, rasuah politik yang tidak sepatutnya berlaku dan saya percaya ini  kerana terdesak dan makin tersepit dengan keadaan apa yang ada hari ini, maka sebab itulah mereka lakukan.

“Ini baru hari kedua dan banyak lagi perkara-perkara yang mereka akan lakukan… saya harap orang kita bersabar, jangan terikut-ikut dengan sikap mereka dan kita patuh undang-undang, jangan terikut-ikut dengan tindakan mereka.

“Saya nasihatkan jika tindakan mereka menyalahi Akta Pilihan Raya maka kita dapatkan bukti dan buat laporan polis segera supaya tindakan mereka tidak berlalu begitu sahaja,” tambahnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.