Jangan Ambil Mudah PRK Semenyih, Gunakan Masa Berkempen Sebaik Mungkin – Noh


SEMENYIH, 17 Feb – Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Tan Sri Noh Omar mengingatkan jentera parti agar tidak mengambil mudah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih dan sepanjang kempen yang ada perlu digunakan sebaik mungkin dalam usaha menarik pengundi agar membuat pilihan yang tepat dengan mengundi calon Barisan Nasional (BN), Zakaria Hanafi pada hari pembuangan undi nanti.

Menurut beliau walaupun keputusannya kelak BN tetap menjadi pembangkang sepertimana yang diperkatakan oleh pelbagai pihak, namun inilah masanya untuk beri ‘signal’ kepada Pakatan Harapan (PH) agar segala yang mereka buat selepas mengambil alih kepimpinan negara tidak boleh diterima oleh rakyat.

“Saya nak tanya bagaimana bajet untuk petani, nelayan, penoreh getah dan sebagainya yang dipotong… soalnya kalau nak tolong rakyat kena tolong segenap lapisan. Saya pernah jadi menteri pertanian dan saya tahu berapa banyak kerajaan tolong.

“Begitu juga semasa saya menjadi menteri jaga bandar… dan saya nampak segenap lapisan kita bantu. Namun kerana fitnah yang dilemparkan kita kalah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program bersama jentera dan pengundi di Bilik Gerakan Sesapan Batu, di sini, malam tadi.

Noh seterusnya menjelaskan hari ini jelas satu persatu makin terdedah  pembohongan mereka dan sepertimana janji untuk tidak melantik ahli politik di dalam badan-badan kerajaan sebagai contoh menjelaskan segala-galanya kepada masyarakat umum.

“Jadi saya penuh percaya pengundi bijak menilai dan calon yang kita ketengahkan berdasarkan biodatanya amat tepat untuk mewakili penduduk di Semenyih,” tambahnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.