Dakwaan 100 Ribu Ahli UMNO Sabah Lompat Parti Hanya Satu Permainan Angka


SEMENYIH, 17 Feb – Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menolak kononnya 100 ribu ahli UMNO akan melompat ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Sabah.

Jelas beliau, ini hanyalah satu permainan angka bagi menggambarkan kononnya UMNO Sabah kian runtuh.

“Ini hanya permainan nombor… semua orang mahu bercerita 100 ribu… 50 ribu tapi yang pasti tidak sampai pun.

“Saya ucapkan selamat maju jaya kepada PPBM Sabah tetapi kalau dibandingkan dengan UMNO… parti UMNO telah banyak berjasa dan terbukti melalui ‘track record’ dan sejarah dalam membela nasib orang Sabah.

“Sekarang ini rakyat mempersoalkan dasar-dasar kerajaan Persekutuan dan negeri kerana rakyat mendapati banyak bantuan yang diberikan oleh BN dahulu telah ditarik atau dikurangkan.

“Jadi bagaimana 100 ribu orang ingin menyokong parti yang mempunyai dasar yang tidak membantu rakyat di akar umbi ini,” jelas beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Abdul Rahman, yang melompat hanyalah segelintir daripada pemimpin UMNO namun kini ada juga dikalangan mereka di peringkat bahagian yang telah pun kembali kepada UMNO dan perkara ini diterima dengan baik oleh pucuk kepimpinan UMNO Sabah.

“BN Sabah akan kekal dengan dasar membantu rakyat dan memohon agar rakyat di Sabah khususnya, supaya bertenang dan susun semula… kita susun semula UMNO untuk terus maju ke hadapan,” ujar beliau.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee mendakwa kira-kira 100 ribu bekas ahli UMNO di Sabah bakal menyertai PPBM selepas parti yang diasaskan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu membuat keputusan masuk ke negeri tersebut.

Jumlah itu termasuklah lima Ahli Parlimen dan lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mengumumkan keluar UMNO pada Disember 2018. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.