Tipu PhD: Ini Pun Rakyat Sudah Boleh Menilai


SEMENYIH, 16 Feb – “Ini soal integriti… itu pun rakyat sudah boleh tahu,” ujar Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata demikian mengulas calon Pakatan Harapan (PH) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang terpalit isu penipuan kelulusan PhD yang didapati berlainan dari yang didakwa di halaman Linkedin.com.

“Kalau soal itu pun (kelulusan) mereka boleh menipu jadi tentulah rakyat sudah boleh menilai, tapi ini bukan kerana melibatkan sorang… banyak kes. Jadi saya harap rakyat sedar dengan penipuan mereka ini.

“Tapi apa yang lebih utama di PRK ini adalah isu berkaitan rakyat. Pengundi di Semenyih sangat memahami bahawa isu rakyat diremehkan oleh PH dan isu rakyat ini tidak menjadi keutamaan kepada kerajaan,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Justeru tambah beliau, rakyat harus menjadikan PRK Semenyih ini sebagai satu referendum bagi menyampaikan mesej yang jelas kepada kerajaan PH.

Untuk rekod, isu kelulusan calon PH mula dipertikaikan beberapa hari sebelum pencalonan lagi apabila semakan di halaman Linkedin.com berbeza dengan biodata yang diberikan oleh PH.

Setelah diperiksa, Aiman dilihat pertama kali menipu kelayakan akademiknya di halaman Linkedin.com apabila mendakwa memiliki PhD di dalam bidang ‘Mobile Communication’ pada tahun 2016.

Namun serangan ke atas kelayakan akademik pemimpin-pemimpin PH akhir-akhir ini membuatkan Aiman terpaksa mengubah strategi dengan membuat sedikit kemaskini di dalam poster kempennya, iaitu kelayakan akademiknya diubah dari memiliki PhD kepada ‘sedang mengikuti pengajian PhD di dalam bidang Kejuruteraan Elektrik, di Universiti Teknoogi Mara, Shah Alam.

Bidang yang berlainan dari yang didakwa di halaman Linkedin.com.

Tindakan Aiman membawa kepada persoalan lain iaitu adakah calon PH ini telah mengambil Ijazah Sarjana atau Master atau adakah dari kelulusan Ijazahnya mampu melayakkan dirinya terus mengambil PhD? – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.