PRK Semenyih: Terima Kasih Muslimat Pas Sedia Kempen Untuk Kemenangan BN – Noraini

SEMENYIH, 16 Feb – Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia Datuk Noraini Ahmad menzahirkan ucapan jutaan terima kasih kepada Muslimat Pas yang terus menyokong dan berkempen untuk calon Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Ujar beliau, kerjasama antara kedua-dua parti Melayu terbesar di negara ini jelas dapat dilihat semakin utuh.

“Wanita telah pun menjalankan gerak kerja mendekati semua peringkat. Sama seperti di PRK Cameron Highlands, Wanita UMNO akan bergerak bersama Muslimat Pas dan kita akan perincikan lagi kerjasama ini melalui cara pendekatan dengan masyarakat.

“Justeru saya ingin melahirkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Muslimat Pas yang bersedia dan membantu BN di PRK Semenyih ini,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Dalam perkembangan lain, di hari pertama tempoh berkempen, Wanita UMNO turut serta dalam program pelancaran Kor Munajat AKIFI peringkat negeri Selangor yang merupakan pasukan munajat muslimat Pas.

Noraini bersama ahli Wanita UMNO turut serta bersama-sama muslimat Pas menunaikan solat hajat sebelum pelancaran program yang disempurnakan oleh Ketua Dewan Muslimat Pas Pusat Senator Ustazah Nuridah Mohamad Salleh. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.