Pembangkang Harus Kuat Untuk Pastikan Kerajaan Tunai Janji


SEMENYIH, 16 Feb – Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menempelak kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berbeza nada hari ini setelah mendapat kuasa.

Jelas beliau, jika sebelum ini ketika menjadi pembangkang mereka sering memperkatakan bahawa kerajaan tidak memerlukan kuasa dua per tiga untuk memerintah tetapi kini ternyata seboleh-bolehnya mereka mahukan majoriti dua per tiga.

“Dulu mereka kata pembangkang yang kuat akan menjadikan kerajaan lebih berusaha untuk memberikan khidmat bakti yang terbaik kepada rakyat. Kalau kuasa terlalu kuat kepada kerajaan mereka tidak akan mempedulikan rintihan rakyat.

“Jadi, pembangkang mesti kuat. Sebab itu masa mereka menjadi pembangkang mereka selalu menafikan kuasa dua per tiga untuk mengurangkan kuasa kerajaan. Jadi sekarang mereka tidak perlu kuasa yang besar untuk memerintah sebab ini yang mereka tekankan dari dulu.

“Jadi, BN perlu menang di PRK Semenyih ini bagi mengukuhkan suara pembangkang. Kita akan membawa suara rakyat dengan memberi tekanan kepada kerajaan… maka janji-janji yang mereka buat dulu terpaksa mereka fikir untuk tunaikan,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Bercakap soal PRK Semenyih jelas beliau, peluang untuk BN menang kali ini cerah kerana perpecahan yang berlaku dalam PH semakin ketara.

“Jika dulu kita terdengar perpecahan dalam PH tetapi hari ini saya dapat tahu di saat akhir mereka terpaksa menukar penyokong dan pencadang untuk calon PH yang dikatakan hilang secara tiba-tiba tanpa dapat dikesan.

“Kalau inilah yang terjadi maka saya percaya mereka dalam keretakan yang teruk dan peluang kita besar untuk menang tetapi dengan syarat jangan ada masalah dalaman dalam UMNO dan BN,” ujar beliau. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.