Menteri Publisiti Murahan Sengaja Cetus Provokasi


KUALA LUMPUR, 16 Feb – Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) PRK N24 Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih berjalan dengan lancar pagi tadi namun berlaku insiden yang sebenarnya boleh dielakkan melainkan pihak yang terlibat sengaja mahu mencari publisiti murahan, kata Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Shahril Sufian Hamdan.

Katanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selaku Ketua Armada PPBM sewajarnya sedar dalam keadaan politik negara yang sedang huru hara akibat daripada permainan politik Pakatan Harapan (PH) sehingga menimbulkan resah dan amarah rakyat, tindakan atau sebarang keadaan yang boleh menimbulkan situasi tegang harus dielakkan.

Pada pagi tadi sewaktu selesai proses penamaan calon, Syed Saddiq didapati dengan sengaja memilih laluan tempat penyokong-penyokong BN berhimpun.

“Maklumat mengatakan pengawal pengiring dan rombongan Syed Saddiq memulakan provokasi dengan menolak dan kasar dengan penyokong-penyokong BN.

“Lebih memalukan apabila Syed Saddiq tetap memilih untuk melalui laluan tersebut sedangkan dalam mana-mana proses penamaan calon pihak polis telah pun menetapkan kawasan bagi pihak penyokong kerajaan dan pembangkang bagi mengelakkan timbulnya sebarang provokasi yang boleh menimbulkan suasana tegang.

“Lainlah kalau pandai bawa diri, penyokong lawan pun tiada masalah, tapi kalau dah suka sangat drama memanjang orang pun naik menyampah,” katanya dalam kenyataan yang dimuatnaik melalui laman Facebook hari ini.

Tegasnya, sebagai Menteri seharusnya beliau sedar dan tahu tentang perkara ini, kenapa tetap memilih laluan yang ada penyokong BN?

“Adakah kerana nak sentiasa masuk media kerana khuatir hilang publisiti? Atau adakah kerana tahu bahawa dasar Kerajaan dan Kementeriannya sudah sembilan bulan tidak ada apa-apa yang boleh dipasarkan kepada rakyat?

“Sebagai seorang pemimpin Syed Saddiq harus belajar untuk menjadi seorang pemimpin bukannya bersifat kebudak-budakkan. Janganlah selalu sangat mengamalkan sifat mentah, sikit-sikit nak jadi mangsa plaster sana sini dan mengadu serata Malaysia?

“Nak jadi pemuda kena ‘tough’ la sikit, kalau dah sengaja masuk gelanggang lawan, setakat kena gertak sikit dan boo tu perkara biasalah kita dalam dunia politik, takkan itu pun mental koyak? Elok esok panggil PC lagi nangis nangis macam dulu,” sindir beliau lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.