Siapa Yang Harus Dipercayai? Muhyiddin Atau Guan Eng

KUALA LUMPUR 15 Feb.- Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mempersoalkan siapa yang seharusnya dipercayai berhubung kenyataan dua menteri Pakatan Harapan mengenai tajaan lawatan pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke Turki.

Ini berikutan percanggahan kenyataan di antara Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berhubung lawatan tersebut.

Jelas Asyraf, setelah mengeluarkan kenyataan Guan Eng cuba mengalihkan isu tersebut dengan menyalahkan kerajaan terdahulu.

“Siapa rakyat harus percaya, Muhyiddin atau Guan Eng? Nampaknya Guan Eng seperti biasa cuba mengalihkan isu syarikat judi menaja lawatan pegawai tertinggi PDRM dengan menyalahkan kerajaan terdahulu.

“Kononnya lawatan tersebut telah diluluskan pada 2017. Takkanlah rakyat nak diperbodohkan lagi sekali, lawatan diadakan tahun 2019 tapi diluluskan tahun 2017,” katanya dalam Facebook miliknya malam semalam.

Sebelum ini Muhyiddin memberitahu lawatan yang diketuai Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan rombongan beberapa pegawai tertinggi PDRM itu diluluskan oleh beliau.

Katanya lagi, kunjungan itu sebagai pendedahan untuk mempelajari teknik membanteras judi haram dari negara lain dan ditaja Lembaga Totalisator Malaysia yang juga merupakan syarikat di bawah Kementerian Kewangan Malaysia.

Namun Guan Eng pula memberitahu kementeriannya tidak pernah meluluskan lawatan tersebut sebaliknya sumber kewangan lawatan ditaja syarikat nombor ramalan dan telah diluluskan pada tahun 2017. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.